SIRI drama popular HBO Original yang memenangi anugerah Emmy, The Last of Us, akan diteruskan ke musim ketiga, meskipun tayangan untuk musim keduanya belum bermula.
Musim kedua siri tersebut yang terdiri daripada tujuh episod dijadualkan mula ditayangkan pada 14 April ini di HBO (Astro Saluran 411/Unifi TV Saluran 401) dan turut boleh distrim menerusi platform Max.
Dalam musim kedua, penonton akan melihat perkembangan karakter Joel dan Ellie lima tahun selepas peristiwa di musim pertama. Mereka berdepan dengan konflik peribadi serta cabaran baharu dalam dunia yang lebih kejam dan tidak menentu.
Barisan pelakon utama yang kembali untuk musim ini termasuk Pedro Pascal sebagai Joel, Bella Ramsey (Ellie), Gabriel Luna (Tommy), dan Rutina Wesley (Maria).
Sementara wajah baharu yang turut menyertai musim kedua ialah Kaitlyn Dever (Abby), Isabela Merced (Dina), Young Mazino (Jesse), Ariela Barer (Mel), Tati Gabrielle (Nora), Spencer Lord (Owen), Danny Ramirez (Manny), Jeffrey Wright (Isaac), manakala Catherine O’Hara pula muncul sebagai bintang undangan.
Naib Presiden Eksekutif Bahagian Program HBO serta Ketua Siri Drama & Filem, Francesca Orsi, berkata, HBO berbangga dengan pencapaian luar biasa musim kedua The Last of Us.
"Craig, Neil, Carolyn serta seluruh pasukan penerbit, pelakon dan kru telah berjaya menghasilkan kesinambungan yang begitu mengagumkan.
"Kami tidak sabar untuk membawa penceritaan mereka ke musim ketiga yang mana kami yakin akan sama hebat,” ujarnya.
Menurut Penerbit Eksekutif, penulis dan pengarah, Craig Mazin, musim kedua siri ini diharapkan dapat menghasilkan sesuatu yang boleh banggakan.
"Hasil akhirnya bukan sahaja mencapai, malah melebihi jangkaan kami. Hasil kerjasama berterusan dengan HBO serta dedikasi luar biasa daripada barisan pelakon dan kru.
"Kami tidak sabar untuk meneruskan kisah The Last of Us dalam musim ketiga,” katanya.
The Last Of Us musim kedua bakal menemui penonton pada 14 April ini | FOTO: HBO/Max |
The Last of Us merupakan naskhah adaptasi daripada permainan video terkenal yang dibangunkan oleh Naughty Dog untuk konsol PlayStation. Siri ini ditulis dan diterbitkan oleh Craig Mazin dan Neil Druckmann. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments