BULAN Mei ini, Miri, Sarawak bakal dihangatkan dengan dua konsert mega yang menghimpunkan barisan artis popular tanah air.
Konsert Konsert MeleTOP TVS akan berlangsung pada 17 Mei, manakala Konsert Berkat Gawai-Kaamatan pula mengambil tempat pada 21 Mei. Menariknya kedua-dua konsert yang diadakan di Stadium Bandaraya Miri boleh ditonton secara percuma.
Mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak dan dibawakan oleh TVS dengan kerjasama Astro, konsert tersebut bukan sahaja memaparkan gabungan hebat antara dua jenama hiburan terbesar negara, tetapi juga menandakan satu lagi kejayaan dalam memperluas jangkauan industri kreatif ke utara Sarawak.
Konsert MeleTOP TVS
Konsert yang dibawakan oleh U Mobile itu bakal berlangsung pada 17 Mei dan kemudiannya disusuli dengan rakaman khas program MeleTOP pada 18 Mei.
Ini adalah kali pertama program hiburan popular tersebut dibawa keluar dari Lembah Klang, menjadikan Miri sebagai tuan rumah bersejarah untuk edisi luar biasa ini.
Konsert yang menampilkan gabungan mantap antara budaya tradisional Borneo dan muzik pop kontemporari itu dijangka memukau penonton dengan penampilan barisan artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Stacy, Dolla, Floor 88, Namie dan ramai lagi.
Konsert ini juga boleh ditonton secara langsung di TVS (Saluran 122 Astro, MYTV & Unifi TV), Astro ONE dan Sooka.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, serta Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kerjasama antara TVS dan Astro ini merupakan satu kejayaan besar buat industri hiburan tempatan.
“Kami bangga menyokong penganjuran berskala besar seperti ini di Miri. Tahniah kepada TVS dan Astro atas kolaborasi luar biasa ini,” katanya.
Konsert Berkat Gawai-Kaamatan
Kehangatan diteruskan pada 21 Mei menerusi Konsert Berkat Gawai-Kaamatan, yang akan menampilkan Ratu Rock Negara, Ella sebagai bintang utama.
Turut serta memeriahkan malam istimewa ini adalah Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX serta artis jemputan dari Kalimantan, Marina Jara.
Rakaman konsert ini akan ditayangkan pada 31 Mei jam 9 malam di TVS, khas buat penonton di luar Sarawak.
Selain meraikan muzik, acara ini juga mengangkat warisan budaya dari Sarawak, Sabah dan Kalimantan, memperkukuh semangat perpaduan serantau.
Mengulas pemilihan Miri sebagai lokasi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal, berkata, Miri adalah bandar yang merupakan pintu masuk ke utara Sarawak, berdekatan dengan Brunei dan Kalimantan.
"Dengan ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya bakal disambut, ini adalah masa terbaik untuk meraikan bersama rakyat,” ujarnya.
Pengalaman istimewa
Dua konsert ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi ia juga menjadi platform buat bakat-bakat tempatan Sabah dan Sarawak untuk bersinar bersama bintang ternama.
Dengan kemasukan percuma dan lokasi strategik, acara ini dijangka menarik pelancong dari seluruh Malaysia, Brunei, dan Kalimantan.Tiket-tiket konsert boleh di perolehi menerusi laman web www.tvsarawak.my/kejutan-tvs . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments