Hot Posts

6/recent/ticker-posts

TV AlHijrah semarakkan Ramadan dengan Hijrah Prihatin Bubur Lambuk

| FOTO: TV AlHijrah

RAMADAN bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan mengukuhkan persaudaraan dan menyemai kasih sayang sesama insan.

Dengan semangat itu, TV AlHijrah akan meneruskan inisiatif Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, sebuah program yang bukan sekadar mengedarkan juadah berbuka puasa tetapi juga menjadi jambatan untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan.

Program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk pada tahun ini akan berlangsung di dua lokasi utama, iaitu Lembah Klang dan Pulau Sebang, Melaka, dengan setiap lokasi membawa keunikan dan keistimewaannya tersendiri.

Keindahan bersedekah dan berkongsi rezeki akan dizahirkan dalam program ini, selari dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya saling membantu, lebih-lebih lagi dalam bulan penuh keberkatan ini.

Di Lembah Klang, pengagihan bubur lambuk akan dibuat di beberapa lokasi tumpuan termasuk Flat Taman Mulia, Cheras pada 19 Mac, Madrasah Seksyen 4, Wangsa Maju (20 Mac), Masjid Gombak Utara (21 Mac), serta Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Batu Caves (24 Mac).

Masyarakat sekitar, termasuk golongan asnaf, jemaah masjid, pelajar tahfiz serta petugas barisan hadapan, bakal menerima agihan bubur lambuk ini dalam suasana penuh kemesraan dan kesyukuran.

Program tersebut turut mendapat sokongan rakan penaja seperti MYTV, selain disemarakkan dengan kehadiran sukarelawan, personaliti, dan warga kerja TV AlHijrah yang akan berganding bahu dalam penyediaan serta pengedaran bubur lambuk.

Gotong-royong memasak dan mengacau bubur lambuk bukan sekadar satu tugas, tetapi akan menjadi simbol kebersamaan, melambangkan ukhuwah yang erat antara semua yang terlibat.

Keistimewaan program ini lebih terserlah di Pulau Sebang, Melaka, apabila TV AlHijrah akan bekerjasama dengan KTMB bagi membawa semangat keprihatinan ke kawasan selatan tanah air.

Gotong royong menyediakan juadah Bubur LambukFOTO: TV AlHijrah 

Pada 14 Mac, Masjid Aleyah Kuala Ina akan menjadi lokasi utama di mana kakitangan KTMB bersama pasukan Hijrah Prihatin serta sukarelawan akan bersatu tenaga memasak bubur lambuk sebelum mengedarkannya kepada penumpang KTM dan penduduk sekitar Pulau Sebang.

Tidak berakhir di situ, pada sebelah malam pasukan Hijrah Prihatin akan berbuka puasa bersama jemaah masjid, berkongsi nikmat rezeki dalam suasana penuh keinsafan dan kesyukuran.

Kebersamaan yang terjalin di meja iftar ini akan menghidupkan kembali tradisi Ramadan yang sebenar, saling berbahagi, memberi tanpa mengharap balasan, dan merasai nikmat berbuka bersama dalam suasana penuh harmoni.

Mengukuhkan Ukhwah

Menurut Pengurus Hal Ehwal Korporat merangkap Pengurus Projek Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, Muhammad Sazri Abd Sani, program itu bukan sekadar tradisi tahunan, tetapi satu simbol kasih sayang yang ingin dikongsi bersama masyarakat.

"Sebagai stesen televisyen Islam utama di Malaysia, TV AlHijrah bukan sekadar menyalurkan dakwah menerusi siaran televisyen, tetapi turut aktif dalam program-program kemasyarakatan yang akan memberi manfaat kepada umat Islam.

“Kami di TV AlHijrah percaya bahawa Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menzahirkan rasa keprihatinan kepada mereka yang memerlukan. Dengan adanya program ini, kami berharap agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati keindahan berbuka puasa dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

“Kami yakin,  program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk  ini bukan hanya sekadar semangkuk bubur lambuk. Ia akan membawa mesej kepedulian yang mendalam. Kami mahu sampaikan mesej bahawa sumbangan ini adalah  lambang kasih sayang kami kepada masyarakat umumnya dan penonton setia TV AlHijrah khususnya,” katanya.

Dengan berlangsungnya Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, TV AlHijrah berharap dapat terus menjadi jambatan kebaikan, menyebarkan kasih sayang serta mengukuhkan nilai ukhuwah dalam masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

Hijrah Prihatin Bubur Lambuk menyantuni masyarakatFOTO: TV AlHijrah 

Program itu bukan sekadar sebuah acara tahunan, tetapi satu usaha berterusan bagi memastikan semangat berbagi rezeki dan menyantuni mereka yang memerlukan terus mekar dalam jiwa umat Islam.

TV AlHijrah juga mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama menjayakan program-program kemasyarakatan seperti ini pada masa akan datang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Hijrah Prihatin Bubur Lambuk dan aktiviti program-program menarik sepanjang Ramadan, orang ramai boleh melayari laman rasmi TV AlHijrah di www.tvalhijrah.com atau mengikuti media sosial rasmi TV AlHijrah.

Teruskan bersama TV AlHijrah sepanjang Ramadan ini untuk merasai keindahan berkongsi rezeki, menghayati makna sebenar kasih sayang dan menyebarkan kebaikan dalam bulan yang penuh keberkatan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments