Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Mahu lebaran lebih bermakna, Bunga kongsi 'Sebulan Raya'

Bunga | FOTO: Warner Music Malaysia

KEMERIAHAN berkumpul bersama keluarga saat menyambut lebaran pastinya dinantikan oleh sebahagian besar daripada kita.

Paling mengujakan apabila dapat pulang ke kampung halaman sambil berkumpul beramai-ramai menjadikan sambutan Hari Raya begitu bermakna.

Hal yang sama turut ditunggu-tunggu Bunga Isme yang sering kali teruja untuk bersama keluarga merayakan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

Berkongsi isi hatinya, Bunga kini tampil dengan single Sebulan Raya sebagai buah tangan terbaharu untuk peminat.

Menurut penyanyi lagu Intan Payung itu lagi, ia merupakan lagu raya pertama nyanyiannya sejak menceburi bidang seni pada 2019, menjadikan dirinya teruja berkongsi ‘vibe’ raya kali ini.

“Sejujurnya Sebulan Raya memang memberikan keterujaan kepada saya. Semuanya berlaku dalam masa yang singkat dan saya gembira kerana berpeluang bekerja dengan ramai pihak dalam menjayakan lagu raya ini.

“Paling beruntung apabila dapat bekerjasama dengan abang Edry Abdul Halim yang bertindak selaku pencipta lagu ini. Memang ini antara kerjasama perdana yang sangat menarik sepanjang saya bergelar anak seni,” ujarnya.

Inspirasi Magika

Bercerita lanjut mengenai kerjasama itu, Bunga menjelaskan, semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila dia menghadiri acara Muzikal Lawak Superstar pada tahun lalu dan lagu runut bunyi filem Magika ciptaan KRU diperdengarkan dan ia telah menarik perhatiannya.

Bunga teruja timba pengalaman baharu ketika bekerjsama dengan Edry FOTO: Warner Music Malaysia

Dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan sebuah lagu baharu yang mempunyai ‘vibe’ seperti kebanyakan runut bunyi filem tersebut yang pernah ditayangkan pada 2010 itu.

“Bila dengar lagu tersebut, saya teringatkan kemeriahan filem berkenaan memandangkan itu merupakan kenangan waktu kecil. Jadi saya jumpa abang Edry dan minta dia buat lagu baharu.

“Banyak perkara yang kami bincangkan bila berjumpa. Dia ada beri beberapa ‘beat’ untuk dipilih dan beri saya kebebasan untuk menambah baik karya berkenaan termasuklah memberikan idea kepada lirik dan sebagainya.

“Ini antara pengalaman paling berharga buat saya kerana dapat bekerjasama dengan komposer yang sudah berpengalaman luas,” katanya.

Sebulan Raya merupakan lagu ciptaan Edry Abdul Halim dan diterbitkan oleh Warner Music Malaysia yang telah dilancarkan pada 28 Februari lalu di semua platform digital.

Muzik video

Mengulas mengenai muzik video (MV) lagu raya tersebut, Bunga berkata, dia baru sahaja menjalani penggambaran minggu lalu beberapa lokasi di Sekinchan, Kuala Selangor.

Pastinya apa yang berada di dalam fikirannya diterjemah oleh pihak produksi bagi membawa semula kemeriahan beraya bersama keluarga.

Di sebalik tabir pembikinan muzik video Sebulan Raya FOTO: Warner Music Malaysia

Jelas penyanyi itu lagi, sejak mula tercetusnya perancangan untuk merakamkan lagu tersebut, pelbagai idea sudah mula difikirkan olehnya untuk ‘dibawa masuk’ ke dalam MV berkenaan selain menggunakan khidmat pasukan produksi berpengalaman.

“Ada beberapa idea saya beri dan mereka realisasikan dengan baik. Bagi saya ini adalah proses penting untuk memasukan hasilnya menggembirakan hati semua pihak termasuk peminat.

“Apa yang boleh saya katakan, memang MV kali ini meriah dan penuh dengan kejutan. Saya harap semua pendengar akan berpuas hati dan gembira menyambut kedatangan Syawal kali ini,” katanya yang bakal mengeluarkan album penuh tidak lama lagi.

MV Sebulan Raya kini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Warner Music Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments