| FOTO: Rocketfuel Entertainment |
SAMBUTAN Syawal pastnya meriah dengan iringan lagu-lagu yang menghidupkan suasana tidak kira di mana ia diraikan.
Mengisi kemeriahan iu, Rocketfuel Entertainment saban tahun tampil melancarkan lagu raya baharu yang dinyanyikan barisan artis terkenal tanah air.
Pada tahun ini, bukan satu, bukan dua, tetapi tiga lagu Raya dilancarkan dengan kepelbagaian konsep dan melodi untuk memeriahkan sambutan hari raya.
Daripada melodi mencuit hati, lirik yang menghiburkan hingga ke tarian 'comel yang pasti menjadi tular, ketiga-tiga lagu ini bakal menjadi 'playlist' utama musim perayaan tahun ini.
Tiga lagu tersebut ialah Meriah Lain Macam, nyanyian Hael Husaini dan Nadeera, Nyam Nyam Ketupat (Wani Kayrie, Dinda Dania, Missalvy & Zizan Razak) dan Dam Dim Dum Raya (Nadeera).
Meriah Lain Macam - Hael Husaini & Nadeera
Meskipun belum dilancarkan secara rasmi, teaser lagu ini sudah meraih lebih 5.3 juta tontonan serta lebih 5,000 ciptaan di TikTok.
Jelas sekali, peminat sudah tidak sabar untuk menyanyikan lagu ini sepanjang bulan Ramadan dan Syawal nanti.
Meriah Lain Macam merupakan lagu ciptaan Hael sendiri bersama Iqie Hugh yang mengisahkan gelagat pasangan suami isteri sibuk membuat persiapan pulang ke kampung untuk beraya, dengan segala kekecohan dan kelucuan yang menyertainya.
Menurut Hael, suasana pulang ke kampung untuk beraya sentiasa mencetuskan kemeriahan dan ia memberi inspirasi saya mencipta lagu itu.
"Saya ingin mencipta lagu yang menggambarkan keterujaan itu, tetapi dalam masa yang sama menyerlahkan keseronokan dan cabaran yang datang dengan perjalanan pulang ke kampung.
"Saya berharap lagu ini dapat menghidupkan lagi ‘mood’ Raya kita semua,” katanya.
Nyam Nyam Ketupat - Wani Kayrie, Dinda Dania, Missalvy & Zizan Razak
Jika ada satu perkara yang dinanti-nantikan oleh semua setiap kali Raya, sudah tentu makanan. Itulah tema utama lagu Nyam Nyam Ketupat, nyanyian Wani Kayrie, Dinda Dania, Missalvy dan Zizan Razak.
Dengan melodi 'catchy', lirik yang menghiburkan serta elemen ketupat sebagai ikon utama, lagu ini bukan sahaja akan menceriakan suasana, malah bakal menjadi kegemaran semua yang mendengarnya.
Wani Kayrie mengakui seronok sepanjang proses rakaman lagu itu, selain ketika penggambaran muzik videonya (MV) yang meriah dengan gelagat masing-masing.
"Kami bukan sahaja dapat menyanyi, tetapi juga menari dengan rutin tarian yang comel dan mudah diikuti.
"Paling kelakar apabila melihat Zizan Razak menari. Saya yakin ramai yang akan menyukai lagu ini dan ikut serta dalam 'trend' tarian Nyam Nyam Ketupat nanti,” ujarnya.
Dam Dim Dum Raya - Nadeera
Sebuah lagi lagu raya daripada Nadeera berjudul Dam Dim Dum Raya yang juga merupakan single solo Raya pertamanya.
Apa yang lebih menarik, Nadeera sendiri terlibat dalam proses penciptaan lagu ini, menjadikannya lebih bermakna buat dirinya dan peminat.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana berpeluang merakamkan bukan satu tetapi dua lagu Raya pada tahun ini.
"Untuk lagu ini, saya mahu menampilkan sisi kreatif saya sebagai pencipta lagu dan memberikan sesuatu yang istimewa buat peminat,” kata Nadeera.
Lagu Dam Dim Dum Raya menggambarkan detik akhir Ramadan dan keterujaan menyambut Syawal bersama keluarga dan sahabat.
Dengan melodi yang membangkitkan nostalgia serta lirik yang menyentuh hati, lagu ini pasti akan menemani peminat sepanjang musim perayaan.
Ketiga-tiga lagu Raya terbitan Rocketfuel Entertainment itu kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan juga YouTube Music. Sementara MV rasmi bakal dilancarkan tidak lama lagi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments