Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Hadiah buat peminat, Stacy janjikan aksi paling epik di konsert solo 'Aku Stacy' Jun depan


MEMENUHI impian dan janjinya kepada peminat, penyanyi popular Stacy mengumumkan bakal mengadakan konsert solo mega pertamanya, 'Aku Stacy'.

Konsert istimewa yang dibawakan Rhythm & Rhyme Entertainment, dan ditaja khas oleh U Mobile itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Jun depan.

Dikenali dengan persembahan bertenaga, vokal mantap dan gerak tari yang memukau, Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam  berjanji untuk memberikan sebuah pengalaman konsert yang epik dan penuh kejutan.

Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, 'Aku Stacy' merupakan sebuah penghormatan khas buat peminat yang telah setia menyokong perjalanan seninya sejak awal kariernya lagi.

Dengan gabungan lagu-lagu hit, produksi bertaraf antarabangsa, serta elemen kejutan yang bakal dipersembahkan, Stacy bersedia untuk mencipta sejarah di negeri kelahirannya sendiri.

Berkongsi lanjut tentang konsert itu, Stacy, 35, berkata, dia sememangnya sudah lama merancang untuk mengadakan konsert solo pertama di negeri kelahirannya. 

“Dulu saya pernah membuat beberapa konsert solo, termasuk konsert DFP Presents Stacy dua tahun lalu, serta album tour di Sabah untuk album pertama saya, Aku Stacy.

"Namun apa yang membezakan 'Aku Stacy' di tahun 2025 ini ialah penglibatan saya secara lebih mendalam dalam pemilihan tenaga kreatif yang terlibat serta dalam merealisasikan konsep keseluruhan konsert ini bersama pasukan saya sendiri.

"Saya memang merancang untuk mengadakan konsert ini di Sabah terlebih dahulu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah menyokong muzik saya sejak tahun 2008,” ujarnya.

Konsert itu juga bakal menampilkan konsep unik yang menggambarkan perjalanan muzik Stacy sejak awal kariernya.

“Konsert Aku Stacy menjanjikan muzik dan visual yang menggambarkan pelbagai genre lagu saya, diperkemaskan dengan visual fesyen yang unik, sesuai dengan identiti muzik saya yang sering berkisar dalam genre ‘dance’ dan rock & roll.

"Persembahan kali ini akan diolah secara khas dari segi muzik, tarian dan fesyen, menjadikannya satu pengalaman yang benar-benar istimewa buat peminat,” katanya teruja.

Ekspresi diri

Sebagai seorang artis yang sinonim dengan persembahan penuh aksi, Stacy turut menjanjikan elemen kejutan buat para peminat.


“Konsert kali ini merupakan durasi persembahan terpanjang saya, dan saya tidak sabar untuk membawa kejutan-kejutan khas buat penonton di Sabah.

"Dalam 17 tahun berada dalam industri ini, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk bertahan dan terus berkembang sebagai seorang penghibur.

"Saya ingin mengekspresikan segala emosi, seni, dan kreativiti saya melalui konsert ini,” tambahnya lagi.

Bagi Stacy, setiap lagu yang bakal dipersembahkan mempunyai nilai sentimental tersendiri. Malah dia percaya setiap lagu membawa makna tersendiri dalam kehidupan seseorang, sama ada melalui lirik atau memori yang berkait dengannya.

"Saya ingin menyajikan persembahan yang lebih besar dari segi skala muzik dan tarian, termasuk elemen ‘pop culture’ seperti yang pernah saya bawakan dalam program The Hardest Singing Show melalui lagu Asmaradana.

"Ini adalah momen istimewa buat saya, kerana saya dapat membawa persembahan sebegini ke tanah kelahiran saya sendiri,” jelasnya.

Harapan

Dalam pada itu, Stacy berkata, konsert tersebut bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai penghargaan buat peminat yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.

Bintang asal Sabah itu berharap peminat akan memberikan sokongan penuh terhadap konsert itu nanti.

“Saya harap mereka semua dapat memberikan sokongan dan kepercayaan yang tulus terhadap konsert 'Aku Stacy'.

"Ini adalah konsert solo berskala besar pertama saya di negeri kelahiran sendiri, dan saya mahu menjadikannya satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

"Ini juga adalah peluang saya untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyokong saya tanpa henti sejak dulu lagi,” akhirinya.

Informasi dan butiran lanjut mengenai konsert 'Aku Stacy' akan diumumkan dalam masa terdekat. Peminat disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy untuk mendapatkan maklumat terkini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments