PENYANYI Siti Nordiana bakal melakar sejarah manis dalam kerjaya seninya apabila bakal berduet bersama penyanyi latar legenda Bollywood, Udit Narayan.
Gandingan istimewa itu bakal disaksikan pada Konsert A Lovely Night with Udit Narayan yang akan berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, 26 April depan.
Konsert mega yang dianjurkan oleh LR Asia dan Filloz International itu akan menyaksikan Siti Nordiana berpadu suara dengan Udit Narayan, yang terkenal sebagai suara latar bagi nanyian aktor-aktor Bollywood tersohor seperti Shah Rukh Khan, Amir Khan, Amitabh Bachan dan ramai lagi.
Menurut Siti Nordiana, peluang tersebut adalah satu pelang keemasan buatnya apatah lagi selama ini begitu mengidolakan Udit Narayan.
“Saya sangka saya hanya diberi peluang untuk melakukan ‘opening act’ sahaja, tetapi rupanya berduet sekali dengan penyanyi idola saya, Udit Narayan.
“Tak tahu nak cakap apa, memang terkesima seketika. Udit merupakan ikon kepada lagu-lagu Bollywood dan tak dinafikan saya membesar dengan lagu-lagunya.
“Dari kecil bila tengok filem Bollywood terutama sekali bila ia menampilkan pelakon kegemaran saya Shah Rukh Khan, saya tahu semua nyanyian dalam filem itu adalah suara penyanyi lagenda ini,” katanya teruja.
Menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan, Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana memberitahu dia akan melakukan yang terbaik untuk gandingan duet itu nanti.
“Bila dah tahu berduet, dalam teruja tu dah jadi gementarlah pula sebab dia penyanyi yang sangat berbakat dan vokalnya memang tiada tandingannya walaupun sudah agak berusia.
“Tak dinafikan ada juga kerisauan untuk membuat persembahan bersama nanti, tapi saya pasti akan buat yang terbaik,” tegasnya.
Sementara itu, pada Konsert A Lovely Night with Udit Narayan itu juga bakal menampilkan pengacara Dee Jangan Ketawa serta penyanyi pempengaruh popular yang lain seperti Mamuji, Nadya Fharshah dan Ar Wanz sebagai ‘opening act’.
Udit Narayan merupakan penyanyi Bollywood yang terkenal dengan suara latarnya di dalam industri muzik Bollywood dan termasuk juga beberapa bahasa lain seperti Tamil, Bengali, Telugu, dan Kannada.
Sepanjang tiga dekad kariernya, Udit telah menyanyikan lebih 25,000 buah lagu dalam lebih 36 bahasa sehingga membuatkan dirinya berjaya mendapat seramai 22.3 juta pendengar di Spotify dan juga memenangi pelbagai anugerah.
Peminat-peminat Bollywood di Asia Tenggara pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu dan menyaksikan persembahan Udit Narayan secara langsung di konsert yang dibawakan oleh LR Asia dan Filloz International di Setia Spice Arena, Pulang Pinang pada 26 April ini.
Pembelian tiket untuk konsert tersebut boleh dibuat menerusi laman web https://uditnarayan.ubertickets.asia . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments