CATATAN ini bukan saya rujukan pada Aina Abdul secara khususnya, tetapi mencakupi semua penyanyi pelapis baharu dan lama.
Ia sebuah pandangan ikhlas tentang betapa bahayanya sindrom membanding dan mengganti yang diadu domba oleh para netizen, peminat tegar mahupun sesiapa yang tertarik dengan isu ini.
Aina Abdul 'pulang kosong' tanpa anugerah terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). Ramai yang memadan muka, tak kurang bersorak dan tak cukup sekadar itu melontarkan kata-kata kurang baik. Para Aination pula membalas dengan serangan yang tidak kurang hebat. Maka berlakulah perang yang tidak bermoral di media sosial.
Dan isu peminat memakai busana wanita di pentas akhir AJL39 yang secara tidak langsung berkaitan dengan penyanyi itu. Kecoh dan huru hara sehingga pihak Jakim dan Menteri Agama diminta turut campur dan mengambil tindakan.
Soalnya sekarang, mengapa sindrom 'toxic' ini semakin menjadi-jadi? Lebih memalukan ia berpusat pada artis wanita sahaja.
Soalnya sekarang, mengapa sindrom 'toxic' ini semakin menjadi-jadi? Lebih memalukan ia berpusat pada artis wanita sahaja.
Saya melihat perjalanan seni Aina Abdul, Ernie Zakri, Nadeera mahupun Marsha Milan sendiri, bukan sesuatu yang mudah. Banyak jerih perih, penat lelah terpaksa ditempuh untuk berada pada kedudukan sekarang.
Sejarah tidak pernah menipu tentang semua itu. Mereka hebat sebagai penyanyi, tetapi masa untuk menyerlah memakan masa yang cukup panjang sehingga umur melepasi 30-an.
Dek kerana perjalanan yang panjang itu makanya untuk mengekalkan kedudukan juga bukan mudah. Strategi dan ‘branding’ diri perlu betul. Ia memerlukan komitmen dan 'RM' yang bukan sedikit.
Betapa pentingnya ada ‘killer song’ seperti hangat dikatakan oleh para artis senior dan pakar dalam bidang ini. Tanpa lagu malar segar dan disiulkan oleh sesiapa juga, ia bukan sesuatu yang akan jatuh dari langit.
Sebagai contoh Ernie Zakri mendahului di semua saluran media sosial berkat lagu Masing-Masing. Pencapaian hebat Ernie itu berjaya meletakkan dirinya lebih ke hadapan berbanding artis lain. Ini yang perlu dicontohi oleh semua penyanyi lama dan baharu. Ada ‘killer song’ maka sasaran dan strategi seni anda sudah berjaya.
Laporan Persatuan Industri Rakaman Malaysia atau Recording Industry Association of Malaysia (RIM) mencatat sejarah pada 2024 dengan pendapatan industri muzik tempatan meningkat 11.5% kepada RM339 juta, mengatasi rekod tertinggi sebelumnya sebanyak RM315 juta pada 1996.
Selain itu, Insomniacks dinobatkan sebagai Artis Tempatan Paling Tinggi Distrim, manakala lagu Masing Masing nyanyian Ernie Zakri dan Ade Govinda menjadi Lagu Tempatan Paling Tinggi Distrim sepanjang 2024.
Lihatlah betapa gahnya kumpulan Insomniacks dengan deretan lagu mereka di carta RIM. Mereka kekal mendahului dengan cara dan lagu mereka yang menarik perhatian. Mereka tidak terlalu viral tetapi tetap ada pengikut setia yang sentiasa strim lagu yang dihasilkan.
Belum pernah Insomniacks dibandingkan dengan Masdo, Akim & Majistret mahupun Exist, Search, Hujan, Wings atau seangkatan dengannya. Masing-masing berjalan dan menikmati kejayaan dengan cara mereka sendiri.
Sedangkan hal begini tidak berlaku dalam kalangan artis wanita. Mengambil contoh ada peminat yang mencadangkan Aina Abdul menggantikan tempat Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi nombor satu lantaran kejayaan hebat Aina di setiap AJL, kemenangan selaku Bintang Paling Popular ABPBH dan kemampuan mencipta lagu.
Sikap begini adalah kurang baik untuk industri. Yuna yang 'mendunia' di peringkat antarabangsa dan mencipta lagu sendiri pun, peminatnya tidak serakus itu untuk meletakkan kedudukan artis kesayangan mereka sebagai nombor satu.
Shila Amzah yang dikenali di China pun begitu. Yuna dan Shila mekar dengan cara mereka membina nama tanpa menumpang nama sesiapa.
Era 90-an dahulu ketika nama Siti Nurhaliza 'meletop' sehingga ramai kurang selesa apabila pada setiap anugerah asyik Siti yang menang. Lalu tercetus idea siapakah yang boleh menewaskan Siti. Maka muncullah pelapis yang membawa konsep seperti Siti. Tetapi mereka gagal. Jenama Siti Nurhaliza tiada duanya.
Kini tiga dekad Siti Nurhaliza tetap berada di takhtanya. Percayalah perjalanan seni Siti Nurhaliza pun tidak mudah juga. Tiga dekad bukan masa yang singkat.
Saya melihat dan mengikuti perkembangannya sejak awal kemunculan sehingga sekarang. Berjayanya Siti Nurhaliza kerana dikelilingi mereka yang berdaya saing, ada visi dan tahu arah perjalanan seninya.
Siti Nurhaliza bukan pengganti Saloma, Sharifah Aini, Sudirman, P.Ramlee atau sesiapa pun. Dia meneruskan legasi seni yang ditinggalkan oleh legenda terdahulu. Itu fakta yang semua perlu faham.
Akhirnya untuk Aina Abdul, Ernie Zakri, Nadeera, Marsha dan artis yang lain, teruslah membina empayar anda sendiri tanpa perlu bersaing dengan sesiapa.
Kita raikan semua. Melangkahlah dengan cara muzik dan kecintaan anda pada dunia seni dengan jujur. Binalah persekitaran seni yang sihat tanpa 'toxic', hipokrit dan munafik. Anda hebat dan mampu lebih hebat daripada legasi terdahulu.
Pemenang AJL, ABPBH, AIM, Anugerah MeleTOP, Gempak Most Wanted, Gegar Vaganza, OIAM, Bintang RTM, BigStage atau Maharaja Lawak sekalipun datang dan pergi.
Kejayaan anda di mana-mana pertandingan adalah bonus hasil kerja hebat anda waktu itu. Jika gagal tidak mengapa, jika menang usah angkuh. Selebihnya teruslah menjadi luar biasa untuk diri sendiri, bangsa, negara dan agama.
Persaingan dan perbandingan yang paling menakutkan adalah dengan diri sendiri. Itulah pesaing dan perbandingan sebenar.
Lawanlah kerakusan dan ketamakan serta sentiasa merasa kita hebat dalam diri sendiri sehabis mungkin. Selepas itu kita akan menarik nafas lega. Allah akan memberikan anugerah terbaik pada masa dan waktu yang tepat. Yakinlah. - 7KLIK
~ Nota by Jebat Iskandar ~
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments