MALAM kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung pada Ahad lalu pastinya menyimpan pelbagai momen istimewa buat semua finalis yang terlibat termasuk Hael Husaini dan Nadeera.
Pada acara penuh prestij itu, dua bintang Rocketfuel Entertainment tersebut tampil dengan persembahan yang bukan sahaja memukau tetapi juga menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
Nadeera bergelar naib juara menerusi lagu Bukan Lagi Kita dengan momen yang cukup epik, manakala Hael pula biarpun tidak membawa pulang kemenangan menerusi lagu Diam, tetap memberikan persembahan berimpak buat penonton.
Malam penuh magis itu menjadi saksi bagaimana bakat, emosi dan dedikasi mampu mencipta sebuah pengalaman luar biasa buat peminat seni muzik tempatan.
Persiapan Rapi
Sebelum AJL39, Hael menerima satu kejutan istimewa yang merupakan sebuah mikrofon bertatahkan kristal Swarovski dalam rona hijau, sepadan dengan busana oleh pereka terkenal Rizman Ruzaini yang dikenakan dan tema persembahannya.
Hadiah istimewa itu datangnya daripada seseorang yang sangat bermakna dalam hidupnya, menjadikan momen tersebut lebih beremosi dan peribadi.
Bagi Nadeera pula, perjalanan ke AJL39 penuh dengan emosi mendalam. Malah sewaktu sesi latihan, air mata kegembiraan mengalir apabila dia mendengar lagunya berkumandang di Axiata Arena buat pertama kali.
Momen tersebut merupakan detik yang paling dinanti-nantikan dalam hidupnya setelah bertahun-tahun mengejar impian untuk berdiri di pentas berprestij ini.
Latihan vokal oleh Datuk Syafinaz Selamat
Untuk acara karpet merah dan persembahan AJL39, Nadeera menyarung gaun merah rekaan Farrarahim Atelier yang diserikan dengan tajaan barang kemas eksklusif daripada jenama Ceres Jewels bernilai RM2 juta, melengkapkan pesonanya sebagai seorang bintang.
Sementara Hael pula menerima tajaan daripada jenama terkenal antarabangsa Dolce & Gabbana yang menambahkan lagi keterampilan dan aura bintangnya pada malam tersebut.
Bukan sekadar penampilan, persiapan vokal mereka juga diberikan perhatian serius. Kedua-dua artis menjalani latihan vokal intensif di bawah bimbingan guru vokal tersohor tanah air iaitu Datuk Syafinaz Selamat dan dibantu oleh Cikgu Azrin Nor.
Dedikasi ini memastikan mereka berada dalam kondisi terbaik untuk memberikan persembahan yang luar biasa.
Persembahan penuh drama kejutan
Setiap persembahan pada pentas AJL39 bukan sekadar nyanyian, tetapi sebuah penceritaan yang mampu menggugah emosi.
Nadeera yang kelihatan anggun dalam persalinan putih oleh label eksklusif, Haute Couture by Rizalman Ibrahim sepatutnya melaksanakan gimik ‘flying veil’ yang dirancang untuk menjadi elemen kejutan dalam persembahannya.
Namun, atas sebab-sebab teknikal, pihak Rocketfuel Entertainment bersama Huge Entertainment House terpaksa membuat perubahan di saat akhir dan menggantikannya dengan 'The Fallen Veil' dari atas.
Walaupun begitu, Nadeera tetap menguasai pentas dengan penuh yakin dan berjaya meraih ‘standing ovation’ daripada penonton. Sorakan gemuruh yang diterima membuktikan kehebatan vokalnya dan penghayatan menerusi lagu Bukan Lagi Kita.
Sementara itu, Hael Husaini turut mencuri perhatian apabila mengalami satu insiden atas pentas. Penyanyi dan komposer itu terjatuh sewaktu menyanyikan lagu Diam, tetapi dengan profesionalisme yang tinggi, Hael bangkit dan meneruskan persembahan dengan penuh semangat. 'The show must go on,' katanya, membuktikan dedikasi dan semangatnya sebagai seorang penghibur sejati.
Namun, momen yang paling menyentuh perasaan seluruh Malaysia adalah apabila Hael dilihat mengalirkan air mata ketika menyaksikan Nadeera menyampaikan Bukan Lagi Kita.
Video reaksinya menjadi tular di media sosial, mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat muzik yang terharu melihat hubungan erat dan sokongan antara dua bintang ini.
Kebanggaan Rocketfuel Entertainment
Rocketfuel Entertainment melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa kedua-dua artis berbakat itu.
Hael, sebagai bekas juara AJL, sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai komposer apabila lagu ciptaannya, Bukan Lagi Kita, dinobatkan sebagai salah satu lagu terbaik tahun ini.
"Alhamdulillah, Nadeera berkongsi rezeki yang sangat besar dengan saya. Saya hanya doakan yang terbaik. Semoga Nadeera setaraf dengan artis-artis lain yang pernah berada di pentas AJL ini," ujarnya.
Nadeera pula berjaya mencapai impian yang telah lama dihajatinya dengan menduduki posisi naib juara AJL39 setelah hampir sedekad berjuang.
"Dapat masuk ke final AJL ini juga sudah menjadi kemenangan buat diri saya. Dan menjadi naib juara ini menjadi rezeki besar buat saya," katanya.
Projek Akan Datang
Selepas kejayaan di AJL39, peminat pasti tidak sabar untuk melihat perjalanan seterusnya buat Hael dan Nadeera.
Rocketfuel Entertainment memberi bayangan bahawa kedua-dua artis ini akan muncul dengan lebih banyak projek menarik dalam masa yang terdekat, nantikan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments