Hot Posts

6/recent/ticker-posts

APT. Rosé, Bruno Mars padam rekod Mariah Carey

Rosé dan Bruno Mars


Oleh: AILEEN ADAM


BINTANG K-pop sensasi, Rosé Blackpink dan Bruno Mars mencipta rekod baharu apabila hit nyanyian mereka, APT. berjaya mengungguli kedudukan pertama di carta Global Billboard selama 15 minggu berturut-turut.

Pencapaian itu sekali gus memadam rekod dipegang oleh penyanyi Mariah Carey menerusi lagu ikoniknya, All I Want for Christmas Is You, yang berada di tangga teratas carta tersebut selama 14 minggu.

Menariknya APT. hanya mengambil masa kurang setahun untuk berada pada kedudukan tersebut, berbanding Mariah Carey selama empat tahun.

Perkembangan itu dikongsi Billboard menerusi satu kenyataan dalam laman web rasmi mereka, baru-baru ini.

Carta yang diperkenalkan pada 2020 itu diadili berdasarkan rekod jualan dan jumlah penstriman lagu di lebih 200 negara tidak termasuk Amerika Syarikat (AS).

Rosé yang juga merupakan anggota kumpulan Blackpink menjadi artis K-pop pertama yang meraih kejayaan tersebut.

APT. merupakan single duetnya dan Bruno rilis pada Oktober tahun lalu itu telah mencetus fenomena di seluruh dunia dan meraih pelbagai carta muzik global.

Keserasian Rosé dan Bruno terserlah  ketika menyampaikan APT. di MAMA Awards yang berlangsung di Osaka, Jepun pada November lalu

Tidak hanya itu, single tersebut juga berada pada tangga teratas carta Billboard Global Exclusive U.S., yang turut menjadikan Rosé sebagai artis K-pop pertama yang melakar sejarah itu.

Malah sepanjang 31 Januari hingga 6 Februari lalu juga, APT. meraih 103.9 juta penstriman di peringkat antarabangsa serta 11,000 unit digital terjual di luar AS.

Benar-benar mendonia, Rosé menerusi APT. berjaya melakar pelbagai rekod baharu dalam kerjaya seninya sebagai solois.

Single itu dimuatkan dalam album solo pertamanya, Rosie yang dilancarkan pada 6 Disember 2024,  terbitan The Black Label dengan kerjasama global di bawah syarikat rakaman Atlantic Records. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments