[Nota Kedai Kopi Bandara]
PENJURIAN Anugerah Juara Lagu (AJL) sentiasa berbeza setiap tahun. Sekumpulan karyawan hebat dunia seni mencari karya terbaik untuk ditabalkan sebagai Juara AJL39.
Pastinya edisi terkini AJL sedikit memberi cabaran dalam memilih lagu yang benar-benar layak. Dengan komposisi sepuluh buah lagu itu sudah tentu setiap satu ada tarikan yang tersendiri.
Soalnya bagaimana asas pemilihan lagu terbaik itu? Apakah yang tengah 'viral' dan diperkatakan atau sebaliknya. Daripada 10 buah lagu itu, separuh sedang diperkatakan dan separuh lagi hampir kurang mesra telinga.
Inilah cabaran sebenar. Yang diperkatakan tidak semestinya patut menang, yang kurang diperkatakan tidak juga layak kalah.
Andai mengikut rekod penjurian antarabangsa, Hael Husaini menerusi lagu Diam pasti akan menang mudah. Andai Diam kalah akan timbul pertikaian tentang kewarasan penilaian para juri sedangkan juri luar yang tidak mesra dengan lagu itu telah memilih Diam sehingga berjaya meraih anugerah ‘Best Theme Song or Title Theme (Malaysia)’ di Asian Academy Creative Awards 2024.
Pun begitu tiada yang mustahil dalam memilih pemenang dalam apa juga pertandingan. Setiap juri ada citarasa mereka.
Bagi saya, sebarang keputusan biarlah adil tanpa dibayangi pengaruh luar atau dalam. Ilmu penjurian juri tentu tahu memilih yang terbaik antara yang terpilih.
Namun secara jujurnya saya mengharapkan lagu Aura daripada Ernie Zakri dan Masdo dengan Pujaanku diangkat antara top 3 AJL39. Keunikan kedua-dua lagu tersebut ada tarikan tersendiri.
Cukuplah kita dihadapkan dengan irama balada untuk ditabalkan. Seperti mana Keliru nyanyian Nurul Ajai yang pernah menewaskan Nirmala daripada Datuk Sri Siti Nurhaliza pada AJL17, pasti tiada mustahil untuk Aura atau Pujaanku berada di puncak bukan?
Persaingan vokal dan persembahan terbaik akan dinilai pada pentas akhir. Atas kertas Aina Abdul, Ernie Zakri, Nadeera, Hafiz Suip, Marsha dan Amir Masdi bakal bertarung untuk vokal terbaik. Sementara persembahan terbaik, finalis yang kreatif bakal menang.
Barangkali Nadeera yang buat penampilan pertama kali menerusi Bukan Lagi Kita ciptaan Hael Husaini akan mencipta kejutan. Siapa tahu bukan?
Sejarah membuktikan Misha Omar mampu menjadi juara menerusi Bunga Bunga Cinta pada kali pertama muncul di AJL18. Nadeera pasti mampu memberi cabaran sengit untuk finalis lain.
AJL39 penanda aras dunia muzik Malaysia. Ketika Anugerah Industri Muzik (AIM) hilang dari radar dan hanya pada tahun ini akan diadakan semula, saya mengharapkan keputusan pemenang AJL39 akan mengangkat lagu terbaik yang akan terus dikenang dan diingati sepanjang zaman.
Jangan hanya gah pada malam final, selepas itu terus diam dan hilang tanpa sengat yang berbisa. - 7KLIK
~ Nota by Jebat Iskandar ~
(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)
ARTIKEL LAIN:
0 Comments