TIDAK pernah lelah memperjuangkan lagu-lagu puisi yang penuh dengan keindahan melodi dan kata, penyanyi Umar Uzair terus berkongsi karya baharu untuk terus mewarnai arena seni muzik kepuisian.
Selepas kali terakhir tampil dengan album berjudul Hasrat Sang Enggang pada yang diterbitkan pada 2019, bintang berbakat besar itu kembali dengan karya baharu, Balada Tengkujuh.
Mengetengahkan konsep muzik keNusantaraan, single istimewa yang liriknya ditulis oleh Umar Uzair sendiri itu digubah melodinya oleh Maman Teacher's Pet, selain turut mendapat sentuhan maestro seruling, Mohar.
Balada Tengkujuh akan membawa pendengar menelusuri pengalaman berhadapan dengan musim tengkujuh serta memberi gambaran tentang suasana tepi pantai yang sentiasa dilambung ombak tinggi ketika musim itu tiba.
Menurut Umar, tidak hanya menceritakan tengkujuh secara zahir, lagu itu juga menceritakan tentang perasaan dan kerinduan seseorang terhadap perkara-perkara yang diinginkan.
“Sukar untuk menemukan sebuah lagu bercitra Nusantara dengan suntikan terkini tetapi setelah diperdengarkan oleh Maman, saya rasa ini adalah satu bentuk muzik yang saya cari.
"Walaupun ia kedengaran moden tetapi jalur muziknya masih tekal berwajah keNusantaraan," ujarnya.
Meski ada sesetengah pihak beranggapan lagu-lagu puisi sukar mendapat tempat di arus perdana, Umar mempunyai alasannya tersendiri untuk terus berjuang mempertahankan genre itu.
"Saya tidak berasa ia sesuatu yang gagal kerana lagu-lagu kepuisian sentiasa dipersembahkan dalam banyak acara-acara penting terutama dalam festival-festival puisi dalam dan luar negara.
"Lagu-lagu puisi juga telah mempunyai jaluran yang tersendiri yang dapat diikuti terutama karya-karya hebat seperti daripada Abiet G Ade, Datuk M. Nasir dan Maman Teacher's Pet sendiri," kata Umar.
Karya mendamaikan
Meski belum dilancarkan secara rasmi, lagu Balada Tengkujuh sudahpun terpilih untuk dipersembahkan pada acara 12th International Film & Poetry Festival di Athens, Greece pada 18 & 19 April depan.
Kata Umar, keinginannya untuk terus menghasilkan lagu-lagu puisi juga kerana ia merupakan sebuah karya yang mendamaikan.
"Saya percaya kita sudah terlalu sibuk dengan urusan seharian dan berharap lagu ini akan memberikan ketenangan kepada pendengar.
"Ia akan menjadi sebuah lagu yang sentiasa dapat diperkenalkan kepada khayalak walaupun mengambil masa yang lama, tetapi mereka akan mendapat sesuatu daripadanya, sama ada melalui emosi ataupun pendidikan daripada gubahan muzik serta penulisan lirik yang baik,” jelasnya.
Balada Tengkujuh terbitan Meta Music Xtreme dan Meja Poedjangga Malaysia itu kini boleh didengari di semua platform digital terpilih mulai 25 Januari lalu dan bakal dilancarkan pada Hari Puisi Sedunia 2025 yang bakal berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Februari depan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments