Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Seruan azan versi baharu, simbol transformasi TV3


SERUAN azan di TV3 yang telah sekian lama menjadi panduan harian umat Islam, kini diperkenalkan dalam versi baharu.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) menerusi pendekatan yang lebih segar dan inovatif, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Azan baharu yang dibawakan dengan keindahan suara syahdu dan merdu oleh Sheikh Abdul Karim Umar Al Makki itu mula diperdengarkan buat pertama kali pada 15 Januari lalu.

Pelancaran itu disempurnakan menerusi program baharu yang dibawakan oleh TV3 serta TV9 dan Tonton iaitu Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman.

Program tersebut hadir dalam bentuk empat siri istimewa yang bertujuan memberikan inspirasi serta pengisian rohani kepada penonton.

Siri itu akan menampilkan tokoh agama terkemuka bersama tetamu jemputan yang berkongsi hikmah, pandangan dan pengalaman mereka terhadap topik-topik yang ditampilkan.

Episod pertama program yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini mengangkat tema ‘Azan’ sebagai fokus utama.

Program itu turut dihadiri Ketua Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ruzmi Kamarudin; Chief Business Development, Menara Kuala Lumpur, Aemizureen Kamarudin, serta Ustaz Khairul Anuar Basri yang tampil sebagai panelis jemputan.

Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman yang dihoskan oleh Fedtri Yahya dan Hj. Ahmad Noor Sulaiman membawakan perbincangan yang penuh ilmu dan mendalam.

Panel jemputan berwibawa Ustaz Adnin Roslan dan Ustaz Khairul Anuar Basri, turut mengupas topik yang menyentuh hati mengenai nilai dan penghayatan azan dalam kehidupan umat Islam.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Child From The East yang menambahkan keceriaan serta mencipta kenangan manis dalam setiap detik perjalanan siri pertama ini.

Menurut Ketua Jabatan, Jabatan Pengisian Islam, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ruzmi Kamaruddin, pihaknya percaya azan menjadi lambang perpaduan dan penghubung rohani bagi umat Islam di seluruh dunia.

"Pembaharuan ini bukan sekadar memberi sentuhan segar daripada segi visual dan audio, tetapi juga mencerminkan penghormatan kami terhadap tradisi suci yang tidak pernah pudar nilainya.

"Azan baharu ini diharap menjadi pemangkin kepada pengalaman baharu yang lebih bermakna untuk penonton, sambil memperluas mesej keagamaan melalui platform digital dan televisyen sebagai medium skrin kedua,” ujarnya.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan siri istimewa, Inspirasi Raudhah: Panggilan Jiwa, Penghubung Iman yang seterusnya secara langsung di platform TikTok TV3. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments