Oleh: SORAYA AFNAN
PELAKON terkenal Bollywood, Saif Ali Khan cedera parah selepas ditikam perompak yang menceroboh kediamannya di Bandra, Mumbai, India awal pagi Khamis.
Saif, 55 dilaporkan cedera akibat ditikam beberapa kali dengan pisau dan telah dikejarkan ke Hospital Lilavati, Mumbai sejurus selepas itu.
Menurut laporan media, aktor itu mengalami beberapa luka tikaman, termasuk satu daripadanya yang hampir mengenai tulang belakang.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku sekitar pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) ketika Saif yang juga suami kepada Kareena Kapoor itu serta anak-anaknya, Taimur Ali, 8, Khan dan Jeh Ali Khan, 4, sedang tidur.
Bintang filem Hum Saath-Saath Hain itu terjaga setelah terdengar bunyi bising dan mendapati rumahnya dicerobohi sebelum berlaku pergelutan antara dia dengan perompak terbabit.
Ketika kejadian, isterinya, pelakon Kareena Kapoor, 45, tiada di rumah kerana mempunyai urusan di luar.
Dalam perkembangan terkini, Saif telah menjalani pembedahan dan doctor mengesahkan tiada organ dalaman terkena tikaman.
Aktor itu kini dilaporkan stabil, tetapi masih lagi menjalani beberapa prosedur rawatan dan dalam pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.
Saif bersama Kareena serta dua anak mereka, Taimur dan Jeh. |
Menerusi kenyataan dikeluarkan syarikat pengurusan Kareena, aktres itu menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.
"Kami memohon media dan peminat agar bersabar dan tidak buat spekulasi kerana polis sudah jalankan penyiasatan," ujar kenyataan tersebut.
Dalam kejadan itu penyerang berjaya melarikan diri dan pihak polis sedang giat memburu suspek.
Terdapat segelintir netizen yang mempersoalkan tahap keselamatan rumah pelakon itu sehingga ia diceroboh dengan mudah.
Namun dalam masa sama, ramai peminat dan rakan-rakan selebriti turut meluahkan rasa simpati dan sokongan mereka terhadap Saif melalui media sosial. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments