Hot Posts

6/recent/ticker-posts

RTM sajikan pelbagai kandungan unggulan sepanjang 2025

| FOTO: RTM

TERUS ke hadapan dalam menyediakan kandungan program berkualiti yang merentas teknologi, cabaran pemikiran, serta perubahan trend semasa, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menganjurkan Majlis RTM… What's New 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media, baru-baru ini.

Acara tersebut bagi memperkenalkan rancangan dan kandungan unggulan RTM yang akan bersiaran sepanjang 2025.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, program itu bertujuan merapatkan hubungan antara RTM, penaja dan agensi untuk menjayakan rancangan berkualiti selain mengangkat jenama tempatan dan antarabangsa.

"Apabila kita buat satu program berkualiti sudah tentu jenama-jenama yang lain mahu turut ke depan bersama-sama dengan produksi bagus daripada RTM.

"Itu yang sebenarnya yang kita buat pada hari ini, jadi kita sempat berjumpa dengan agensi dan juga syarikat-syarikat yang mahu bekerjasama dalam mengetengahkan kerjasama dengan jenama RTM dengan pasukan produksi yang bagus," katanya.

Kekal dengan tagline 'Teman Setia Anda', RTM merencanakan pelbagai pilihan program terbaik mengisi saluran TV, radio, dan penstriman langsung RTMKlik dengan mensasarkan lebih ramai audiens terutama dalam kalangan golongan muda dan pada masa yang sama mengukuhkan kesetiaan penonton dan pendengar sedia ada.

Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES) menerbitkan siaran langsung program utama yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia antaranya Langkawi International Maritime and Areospace 2025 (LIMA 2025) dijadualkan pada 20 hingga 24 Mei 2025, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2025, dan program terbaik musim haji, Salam Baitullah bermula 24 Mei depan. 

Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, segmen Hello ASEAN bermula Februari 2025 (Selamat Pagi Malaysia) dan segmen Biz ASEAN akan turut diperkenalkan setiap Khamis bermula Januari 2025 secara dwi bahasa (bahasa Inggeris/bahasa Melayu).

Saluran RTM turut menawarkan pilihan program terbaik menerusi lima saluran iaitu TV1, TV2, Okey, TV6 dan Sukan merangkumi dokumentari, majalah, rancangan bual bicara, program realiti, animasi serta filem dalam dan luar negara.

Program hiburan

Saluran TV1 mewarnai penonton dengan menyiarkan telefilem terbaik mengisi slot popular Panggung RTM yang mengangkat kisah penuh makna merentasi pelbagai tema kehidupan, budaya serta masyarakat. 

Antara judul yang diketengahkan seperti Sagon Tumbuk, Sireh Pinang Mudo, Lafaz Yang Makbul dan Bagaikan Aur.

Slot Widuri turut menjanjikan drama bersiri rantaian terbaik dengan judul Epom dan Rumah Kasih Suraya juga program tonggak seperti Selamat Pagi Malaysia (SPM), Panorama, Simfoni Alam dan Tumit Tinggi.

Sementara TV2 pula menjanjikan hiburan seisi keluarga dengan konsert muzikal, rancangan realiti TV dan Majlis Anugerah berprestij melibatkan artis-artis popular dalam dunia industri hiburan seperti Muzikal Big Band Project Season 2, Citra Reka Busana dan Konsert Mega RTM.

Slot Screen On 2 turut menayangkan filem box-office dan blockbuster luar negara dan tempatan terbaik termasuklah Baahubali 2, Sonic The Hedgehog, Jawan, Fast & Furious Presents: Hobbs & Shaw, Shazam!, The Grandmaster, The Batman, Spider-Man Far From Home, Shaitaan, The Conjuring, The Cursed, Pagari Bulan, Cinta Subuh, dan Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal.

Menarik di saluran Okey menyediakan program santai mengisi slot Layar Okey iaitu telefilem yang bakal viral berjudul Cik Pon Bakal Talak Satu, Tiada Jalan Keluar dan Petai Tua Jering.

Saksikan juga program Dapur Pecah Perut dalam slot Foodie Okey yang menampilkan barisan artis popular Namie, Issey, Mark Adam, Fikry Ibrahim, Saiful Apek, Zulin Aziz, Zara Zya, dan Wafariena menyahut cabaran menyediakan menu istimewa pilihan mereka.

Diikuti slot Check-In Okey, mengetengahkan program percutian dan kembara dari tempat viral hingga ke destinasi eksotik menerusi judul Merentas Sempadan #satuperjalanan, dan Jom Dive.

Saluran Sukan pula menyiarkan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC), dan MFL 2025 iaitu perlawanan unggul bola sepak tanah air seperti Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia. Diikuti Temasya Sukan Sea Bangkok Thailand Ke-33 dijadualkan pada 9 hingga 20 Disember 2025 berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

Program retro

Berkonsepkan retro yang menyiarkan kembali program-program malar segar terbitan RTM, saluran TV6 mengembalikan nostalgia rantaian telefilem dan persembahan hiburan.

Slot Anta Permata membawakan sitkom dan drama komedi terbitan tahun 1990-an hingga 2006, slot Aurora diisi dengan telefilem sekitar tahun 1990 hingga 2014.

Tidak ketinggalan slot Retromania menampilkan hiburan hujung minggu yang mengimbas kembali persembahan nyanyian artis solo dan berkumpulan dari awal penglibatan hingga kini terus kekal popular.

Radio RTM pula meneruskan misi menambat hati pendengar seluruh negara dengan mempertaruhkan program utama dengan konsep yang segar dan santai.

Program yang menghimpunkan ke semua 34 stesen radio iaitu 34 Jer Kita Suka mengekalkan siarannya serentak pada hari dan waktu sama selama 34 minit. 

Tahun ini Konsert 34 Jer Kita Suka: Muzik Menyatukan Zon, Memeriahkan Negara. menampilkan semangat perpaduan melalui muzik, bahasa dan irama bermula dengan Zon Sabah (24 Mei 2025), Zon Selatan (31 Mei 2025), Zon Utara (14 Jun 2025), Zon Timur (21 Jun 2025) dan Zon Sarawak (28 Jun 2025).

Dua siri jelajah turut bakal dilaksanakan iaitu Jelajah Ramadan 2025 dan Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.

Jelajah Ramadan bakal dilancarkan pada 28 Februari 2025 bertempat di Petron Ulam North, Kota Kinabalu, Sabah dan majlis penutup pada 20 Mac 2025 di RTM Melaka.

Sementara Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 akan dilancarkan pada 17 Ogos 2025 di RTM Perlis dan majlis penutup dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos 2025 di Angkasapuri, Kota Media, Kuala Lumpur.

Menjadi keutamaan bagi RTM memastikan semua informasi dan pengisian dapat disiarkan dengan lebih efisyen dan efektif. Program terbitan Media Digital Interaktif (MDI) disiarkan menerusi RTMKLIK yang lebih pantas diakses untuk tontonan tanpa henti di mana sahaja.

Secara eksklusif RTMKlik menyediakan tiga kandungan digital iaitu Ivan Dan, mulai Februari 2025 (podcast santai musim kedua), Betul-Betul Asean mulai Mei 2025 (travelog sempena Kepengerusian Asean 2025, dan Jawab Betul-Betul (podcast membicarakan topik dan isu semasa).

Tiga Karnival RTMKlik juga bakal dianjurkan oleh MDI dalam usaha mempromosikan RTMKlik bertempat di East Coast Mall, Pahang (24 Mei 2025), Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu, Sabah (21 Jun 2025) dan Viva City, Kuching, Sarawak (28 Jun 2025). - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments