Norman, Edry dan Yusry Abdul Halim | FOTO: Sony Music Malaysia |
KUMPULAN KRU meneruskan legasi muzik mereka apabila melancarakan single kedua daripada album Kaset, berjudul One More Time.
Lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh Norman, Yusry, dan Edry itu disampaikan dengan penuh emosi oleh trio adik-beradik itu, sekali gus membuktikan kematangan vokal mereka.
One More Time yang masih mengekalkan DNA muzik R&B KRU era 90-an itu mengisahkan kekecewaan seorang insan yang sekali lagi gagal dalam percintaan dan hanya mampu bergembira dalam kesedihan melihat bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain.
Menurut Norman, sememangnya ini merupakan tradisi KRU mengeluarkan lagu balada selepas single pertama rancak.
"Ramai peminat menantikan lagu One More Time. Kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan baik dari peminat sekali gus mengekalkan momentum pemasaran album Kaset apabila dikeluarkan tidak lama lagi.” ujarnya mewakili KRU.
Menerusi single itu juga, KRU meneruskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik One More Time.
Menariknya, melalui video muzik tersebut peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, sekali us memberikan pengalaman emosi yang unik.
| FOTO: Sony Music Malaysia |
Menurut Pengarah Urusan Sony Music Entertainment, Kenny Ong, KRU sememangnya artis serba boleh bukan saja dari sudut nyanyian, penciptaan dan penerbitan lagu tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini bagi penceritaan sesebuah lagu melalui video muzik.
"Kami percaya video muzik One More Time akan memberi kesan yang mendalam kepada penonton. Malah lagu ini juga bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang akan kekal relevan untuk puluhan tahun yang akan datang,” ujarnya.
Terdahulu KRU telah mengeluar single pertama daripada album Kaset, berjudul Voodoo dan lagu tersebut mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
Video muzik Voodoo di saluran YouTube telah mencecah lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh singkat dan telah berjaya memikat pengikut baru KRU daripada generasi Alpha.
One More Time boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music mulai 17 Januari lalu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments