JIKA sebelum ini nama Hani Fadzil dikenali sebagai penyampai radio berbahasa Melayu, kini tampil sebaliknya apabila bakal menyertai barisan penyampai MIX.
Stesen radio berbahasa Inggeris itu memperkenalkan Hani sebagai penyampai baharu untuk slot MIX Days yang akan bersiaran dari jam 10 pagi hingga 3 petang.
Hani bakal memulakan tugas rasminya pada 6 Januari 2024, menjadikan ia sebagai langkah baharu dalam kariernya sebagai penyampaian radio.
Namanya bukanlah asing dalam dunia penyiaran radio, malah sebelum ini Hani telah mencipta nama sebagai penyampai di stesen radio berbahasa Melayu iaitu ERA.
Tidak hanya itu, penyampai serba boleh itu juga pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Jenama untuk Radio ERA Sabah dan Sarawak.
Pengalaman luas Hani di belakang tabir telah memperkaya kemahirannya, bukan sahaja dalam pengurusan tetapi juga dalam memahami kehendak dan cita rasa pendengar.
Menurut Hani, peluang kembali bergelar penyampai radio dilihat sebagai titik penting dalam perkembangan kariernya, terutama dengan cabaran baharu dalam menyampaikan segmen radio dalam bahasa Inggeris.
“Saya sangat teruja untuk menyertai keluarga MIX. Rasa rindu terhadap dunia penyampaian radio akhirnya terubat.
"Kini saya bersedia untuk mencabar diri dengan memberikan yang terbaik dalam segmen berbahasa Inggeris. Dengan pengalaman dalam industri ini, saya berharap dapat terus memikat hati pendengar dan membawa hiburan yang bermakna,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Jenama MIX, Rosalind Teng, berkata, pihaknya teruja menyambut kehadiran penyampai berpengalaman seperti Hani ke MIX.
"Personalitinya ceria dan sesuai dengan kelompok sasar yang sering mendengar MIX. Hani akan membawakan tips kekeluargaan, hiburan terkini, idea makan tengah hari, serta senarai lagu terbaik untuk menceriakan hari anda. Kami di MIX sangat gembira memulakan tahun baharu dengan kehadiran Hani,” katanya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments