PENYANYI Amira Othman kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Bila Nak Kahwin?.
Karya ciptaan dua komposer terkemuka, Iqie Hugh dan Omar K bersama Amira sendiri itu diedarkan oleh Sony Music Malaysia dengan kerjasama kreatif bersama Emiera Othman Ventures.
Menampilkan gabungan mesej mendalam dan elemen muzik yang segar, Bila Nak Kahwin? tampil berbeza daripada karya-karya terdahulu Amira, menjadikan ia sebuah lagu unik serta relevan dengan kehidupan masyarakat masa kini.
Sejak memulakan kerjaya seninya pada 2013, sebagai figura dikenali ramai, Amira sering dihujani dengan pelbagai soalan, sama ada tentang kerjaya profesionalnya mahupun kehidupan peribadi.
Bertitik tolak daripada soalan-soalan itu telah membuahkan inspirasi untuk Amira melakar bait-bait liriknya kerana ada mesej yang ingin disampaikan.
“Saya yakin lagu Bila Nak Kahwin? ini sangat ‘relatable’ dengan ramai orang di luar sana. Secara tidak langsung ada sesuatu yang ingin saya sampaikan dengan harapan ia menjadi pendorong serta semangat buat mereka yang sentiasa berdepan dengan situasi tersebut.
"Jadi, saya memandangnya dari sudut positif dan jadikannya sebagai inspirasi dalam penghasilan lagu ini,” ujarnya.
Menurut pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman, proses kreatif single tersebut menjadi lebih menarik dengan bantuan Iqie Hugh dan Omar K, yang disifatkan berjaya menterjemahkan pengalaman tersebut ke dalam melodi dan lirik dengan baik.
Gabungan Elemen Tradisional, moden
Jelasnya lagi, lagu Bila Nak Kahwin? menghidangkan elemen muzik dalam nuansa pop moden dengan sentuhan unik bunyian klasik seperti alunan alatan muzik akordion.
“Saya mahukan kelainan dalam lagu ini sambil mengekalkan melodinya yang segar. Namun dalam masa yang sama, saya cuba mengembalikan 'vibes' lagu-lagu terdahulu seperti Hati Hati dan Jaga Jaga,” katanya.
Proses rakaman lagu tersebut dikatakan mengambil masa selama tiga sehingga empat jam sahaja, menjadikan ia sebuah pengalaman yang pantas tetapi bermakna bagi Amira.
Lebih istimewa, ini merupakan kali pertama Amira turut serta dalam proses penulisan lirik bersama kedua-dua komposer terbabit.
Sementara itu, muzik video (MV) Bila Nak Kahwin? dijangka mendapat sambutan hangat apabla menampilkan konsep yang ringkas tetapi menaik.
Kisahnya berkaitan kehidupan semasa iaitu gambaran situasi yang sering dialami ramai, terutamanya ketika menghadiri majlis perkahwinan.
“Soalan cepu mas seperti ‘Bila nak kahwin?’ itu pasti biasa didengar oleh ramai orang, dan MV ini cuba menggambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan seharian,” jelasnya lagi.
Berkongsi tentang harapannya terhasap single tersebut, Amira berharap mesej tentang kepercayaan kepada takdir Ilahi akan dapat disampaikan kepada para pendengar.
“Saya ingin mengingatkan pada semua bahawa jodoh, rezeki dan masa depan kita kesemuanya adalah ketentuan daripada Tuhan.
"Jadi, saya harap ia menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang sering berdepan soalan sama seperti saya,” katanya.
Amira ketika majlis pelancaran single Bila Nak Kahwin yang berlangsung baru-baru ini | FOTO: Sony Music Malaysia |
Amira turut menyasarkan agar lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, tetapi juga mampu menembusi pasaran luar negara.
Selain itu, penyanyi itu juga berharap single terbaharunya itu menjadi tular di platform media sosial seperti TikTok dan memberi impak besar kepada peminat dan pendengar muzik amnya.
Bila Nak Kahwin? kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Apple Music, ,Joox, Spotify, dan YouTube Music.
Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments