Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Jisoo pilih Warner Records, peminat makin teruja tunggu Amortage


Oleh: AILEEN ADAM

MENGIKUTI jejak langkah anggota Blackpink yang lain dalam melancarkan perjalanan kerjaya solo, Jisoo akhirnya rasmi menandatangani kontrak kerjasama dengan Warner Records untuk aktiviti  muzik di peringkat global.

Pemilik nama penuh Kim Ji-soo, 30, mengakui gembira dan teruja untuk memulakan era baharu itu dalam meneruskan perjalanan muziknya selepas ini.

"Saya sangat bersemangat memasuki era baharu dan meneruskan perjalanan muzik saya. Ini baru permulaan dan saya berterima kasih pada BLINK (gelaran peminat Blackpink) atas semua kasih sayang dan sokongan mereka.

"Ini adalah permulaan baharu dan saya teruja untuk memulakan detik bersejarah ini bersama Warner Records,” katanya.

Sementara itu, Warner Records mengesahkan perkara tersebut dalam satu kenyataan pada Rabu dan menyifatkan kerjasama itu bakal menyaksikan Jisoo membawa muzik solonya pada tahap yang berbeza.

Naib Pengerusi dan CEO Warner Records, Aaron Bay-Schuck,  berkata, sebagai bintang K-Pop global, karier solo Jisoo itu pasti memiliki impak yang sangat besar.

"Kami yakin energi, passion dan seni yang dibawa oleh Jisoo dalam muzik solonya berada pada tahap yang berbeza.

"Saya dan seluruh pasukan sangat teruja untuk bergabung bersama Jisoo dan menyokongnya mencipta sejarah dan memberi inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia,” tegasnya.

Dalam kemas kini terbaharu laman web label tersebut, nama Jisoo  kini sudah rasmi dimasukkan dalam senarai barisan artis Warner Records.


Terdahulu penyanyi lagu Flower yang kini semakin aktif dalam bidang lakonan itu mengumumkan bakal tampil dengan mini album berjudul Amortage yang bakal rilis pada 14 Februari ini.

Album itu dirilis dan diedarkan di bawah label Warner Records yang turut dinaungi barisan artis popular dunia termasuk Madonna, Muse, Green Day, Dua Lipa dan ramai lagi.

Dalam masa sama, Jisoo yang turut menubuhkan agensi miliknya sendiri, Blissoo untuk menguruskan kerjaya solonya itu menganggap mini album tersebut sebagai projek paling bermakna dan simbolik 'kelahiran semula'  dirinya.

Baru sahaja pulang dari Paris setelah menghadiri acara pertunjukan fesyen koleksi Dior Spring/Summer Haute Couture pada Selasa lalu, Jisoo kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama terbaharu lakonannya, Monthly Boyfriend, sebelum memberi fokus kepada perilisan mini albumnya dalam masa terdekat.


Dalam perkembangan lain, drama lakonannya yang menjalani penggambaran pada tahun lalu, Newtopia bakal menemui peminat di platform Prime Video pada 7 Februari ini, seminggu sebelum mini albumnya dilancarkan.

Menjelang Mei pula, bintang K-Pop kesayangan ramai itu akan kembali sibuk bersama Jennie, Rosé dan Lisa menjayakan aktiviti  untuk album baharu Blackpink dan mega konsert jelajah dunia mereka selepas itu. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


Post a Comment

0 Comments