Hot Posts

6/recent/ticker-posts

GV11: Menuju ke final, kedudukan Liza Aziz dalam 'bahaya'



[Nota Kedai Kopi Bandara]

ATAS kertas sememangnya Liza Aziz diramal juara Gegar Vaganza musim kesebelas (GV11). Berdasarkan kehebatan persembahan yang ditampilkan setiap minggu, hakikat tersebut boleh dijangka.

Liza Aziz sedang berada di zon selesa untuk merangkul gelaran teratas itu. Pun begitu melihat perkembangan konsert demi minggu, saya melihat percaturan Liza Aziz yang mempertaruhkan vokal lantangnya itu, kelihatan semakin goyah sedikit demi sedikit.

Saban minggu saya mengharapkan ada kejutan baharu berbanding persamaan persembahan setiap minggu. Kita bagaikan dapat menjangka setakat mana kehebatannya menyanyi. Selain itu tiada sesuatu yang lain untuk diperkatakan.

Apabila kumpulan The Lima yang setiap minggu memperlihatkan kemajuan persembahan berjaya menjadi juara minggu terdahulu dan terkini Ning Baizura pula buat pertama kali bergelar juara, tentu sedikit sebanyak mengejutkan banyak pihak.

Itu belum lagi bercerita tentang saingan dari Sheila Abdull dan Dadali Dyrga. Keduanya sentiasa konsisten dalam persembahan dan menghimpit rapat untuk berada di top 3 mahupun top 5.

Zehra Zambri pun begitu. Siapa sangka dia mampu berada di tangga ketiga, sedangkan sebelumnya sering berada di ‘bottom’ 3.

Ning Baizura pula mula menunjukkan taring dan kembali mempamerkan kebolehan 'sebenarnya' seperti kehendak Tok Ram yang mengatakan menyanyi perlu merdu dan lunak.

Jika penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu fokus dengan corak nyanyiannya tanpa perlu beriya-iya sangat mampu memberi kejutan demi kejutan.

Zehra, The Lima, Ronnie dan Fairuz tetap ada peluang | FOTO: Astro Gempak


Kebiasaan finalis akhir GV adalah enam orang. Ini bererti kedudukan yang goyah antara Fairuz Selamat, Ronnie  Hussien dan seorang lagi finalis yang jika persembahan mereka turun naik.

Zehra Zambri bakal menjadi mangsa jika dia tidak meneruskan kecemerlangan pada konsert suku akhir dan separuh akhir nanati.

Liza Aziz sudah pasti ke pentas akhir. Pun begitu untuk kembali unggul di tempat pertama, dia perlu ada strategi drastik untuk terus mara meninggalkan pesaing.

Selagi dirinya masih dengan zon selesa seperti sekarang, saya yakin kedudukan Liza Aziz akan berada dalam 'bahaya'.

GV program penuh kejutan dan sukar dijangka. Macam-macam akan berlaku. Liza Aziz perlu bangkit dan berkerjasama bersaing secara sihat dengan para peserta.

Lihatlah bagaimana Ning Baizura berjaya membawa Zehra Zambri selaku rakan duet yang baik berbanding gandingan Liza Aziz dan Sheila Abdull yang kurang serasi. Duet dan ‘battle’ berbeza.

Liza Aziz perlu saling melengkapi persembahan berbanding kelihatan beriya untuk tenggelamkan Sheila Abdul. Itu namanya duet.

Siapapun juara GV11, saya alukan. Komitmen setiap peserta dengan pelbagai genre lagu tentunya tidak mudah untuk dipersembahkan.

Namun untuk seorang legenda seperti Liza Aziz, dia perlu berada di landasan berbeza penuh persembahan lebih daripada biasa jika ingin bergelar juara. 'Adik-adiknya' sedang menghimpit dan mengejar Liza Aziz sekarang ini.

Minggu tema 'RockDut' pasti menjanjikan sesuatu yang menarik untuk ditonton minggu depan bukan? Siapa bakal tersingkir dan siapa unggul di tangga pertama? - 7KLIK

~  Nota by Jebat Iskandar ~

(**Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian 7Klik mahupun mana-mana pihak)


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments