SIRI popular Korea Selatan, Squid Game terus mencuri perhatian dengan penampilan musim keduanya yang kini sedang hangat bersiaran di platform penstriman Netflix.
Squid Game musim baharu itu menjadi rancangan paling ramai ditonton platform tersebut pada minggu pelancarannya baru-baru ini.
Menurut laporan agensi berita Yonhap, siri tersebut mencatat lebih 480 juta jam tontonan berdasarkan senarai Global Top 10 Netflix untuk minggu berakhir Ahad.
Pencapaian itu luar biasa itu bukan sahaja telah meletakkan kedudukannya pada tangga teratas kategori TV bukan berbahasa Inggeris, malah mengatasi jumlah jam tontonan dalam kategori TV berbahasa Inggeris serta kategori filem berbahasa Inggeris dan bukan Inggeris bagi tempoh sama.
Lebih membanggakan, Squid Game 2 juga berjaya mencipta rekod baharu untuk tontonan terbanyak dalam minggu tayangan perdananya, mengatasi rekod 448 juta jam tontonan yang dicapai musim pertama pada minggu keempat.
Sambutan luar biasa itu juga menyaksikan musim baharu siri itu menduduki tempat ketujuh dalam senarai rancangan bukan berbahasa Inggeris paling popular sepanjang masa di Netflix meski baru ditayangkan pada Jumaat.
Squid Game musim pertama kekal pada kedudukan teratas, diikuti siri Sepanyol, Money Heist (bahagian 4), manakala siri Perancis berjudul Lupin (bahagian 1) berada di kedudukan ketiga.
Dalam pada itu, Squid Game musim ketiga dijangka menemui penonton pada tahun depan. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments