Hot Posts

6/recent/ticker-posts

EP Legasi Tampilkan David Arumugam, karya peribadi buat Dasha Logan



PENYANYI berbakat Dasha Logan mengumumkan pelancaran EP terbaharunya berjudul Legasi yang disifatkan cukup istimewa alam kerjaya seninya.

Legasi merupakan karya peribadi yang menonjolkan kolaborasi eksklusif dengan bapa saudaranya, Datuk David Arumugam, vokalis legenda daripada kumpulan ikonik Malaysia, Alleycats.

Menampilkan susunan muzik indah oleh Melina Williams dan diterbitkan dengan sentuhan kreatif oleh Rozhan Razman, EP tersebut memuatkan lima buah lagu yang terdiri daripada Jika Kau Bercinta Lagi (lengkap dengan video muzik eksklusif), Senandung Semalam, Seribu Bintang, Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu dan Sampaikanlah Salam.

Bercakap mengenai EP itu, Dasha yang juga merupakan anak kepada anggota Alleycats, Datuk Loganathan Arumugam, berkata, Legasi merupakan sebuah penghormatan kepada perjalanan muziknya yang dipengaruhi oleh warisan keluarga dan tradisi.

"Saya amat teruja dapat bekerjasama dengan Datuk David Arumugam, seorang ikon muzik Malaysia, serta Melina Williams dan Rozhan Razman.

"Masing-masing telah membawa keunikan mereka ke dalam projek ini. Hasilnya adalah karya yang penuh jiwa dan semangat,” ujarnya.


Tambah Dasha lagi, projek itu sangat bermakna buat dirinya kerana percaya tidak ramai yang berpeluang mendengar suara orang tersayang selepas mereka tiada.

"Bagi saya, ini adalah satu rahmat dan juga ujian. Menyanyikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh mendiang ayah saya, Loganathan Arumugam, amat sukar secara emosi.

"Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu adalah lagu yang sangat dekat di hati saya. Walaupun ia mencabar, lagu ini mengingatkan saya tentang kehadiran dan warisannya.

"Alleycats juga mempunyai banyak lagu yang mendahului zamannya, dan saya berharap dapat menghasilkan semula karya mereka di masa hadapan,” jelasnya.

Permata tersembunyi

Mengulas tentang pemilihan lagu-lagu untuk EP tersebut, Dasha menerangkan bahawa Alleycats mempunyai begitu banyak lagu yang hebat serta permata tersembunyi dalam koleksi muzik mereka dari pelbagai album.

“Dalam memilih lagu-lagu ini, saya berharap ia akan membangkitkan minat dan emosi terhadap apa yang ingin saya lakukan, iaitu menghidupkan semula beberapa lagu yang kurang popular seperti Cahaya Keinsafan, Dengar Lihat Fikir, Di Mana dan banyak lagi.

"Terlalu banyak untuk disebut, tetapi lagu-lagu ini sudah lama dekat di hati saya. Mungkin ia juga mempunyai tempat istimewa di hati ramai orang,” ujarnya jujur.


Video muzik untuk lagu utama, Jika Kau Bercinta Lagi ditayangkan buat secara perdana dan pertama kali sewaktu majlis pelancaran EP tersebut baru-baru ini.

Selain itu, Dasha turut mempersembahkan lagu-lagu dari EP itu secara langsung, dengan persembahan istimewa yang pastinya akan memikat hati para media dan hadirin.

“Harapan saya adalah untuk menghargai legasi muzik Alleycats, menghidupkan semula lagu-lagu yang mungkin terlupakan, menyentuh hati pendengar.

"Saya juga mahu menghasilkan muzik abadi yang memberi inspirasi dan makna,” katanya yang turut berterima kasih atas sokongan MyCreative Ventures terhadap projek istimewa itu.

Sementara itu David Arumugam mengakui bangga dengan kesungguhan anak saudaranya itu dalam memberi penghormatan kepada karya-karya yang pernah dinyanyikan oleh Alleycats sebelum ini.

"Saya sangat bangga dengan Dasha. Dia benar-benar menaruh seluruh hati dan perasaannya serta kesungguhan dalam karyanya, itu jelas kelihatan.

"Saya sangat menyukai versi baharu ini kerana Dasha membawa dengan gayanya sendiri dan hasilnya terasa segar dan menarik," katanya.

EP Legasi kini boleh didengari di semua platform penstriman Utama, manakala muzik videonya dapat ditonton di laman YouTube. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments