Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Album solo penuh Jennie dengan judul 'Ruby' bakal rilis 7 Mac, tampil 15 lagu termasuk kolaborasi Dua Lipa


Oleh: AILEEN ADAM

LEBIH setahun menunggu, akhirnya Jennie tampil mengumumkan album solo studio pertamanya siap siaga untuk dilancarkan pada 7 Mac depan.

Berita mengujakan itu diumumkan sendiri oleh pemilik nama lengkap, Jennie Kim, 29, menerusi sebuah teaser berdurasi 34 saat di laman web rasmi dan akaun Instagram miliknya pada Rabu.

Tampil dengan konsep dan visual merah dominan yang mengujakan, anggota Blackpink itu kelihatan menawan dengan beberapa penampilan unik penuh karakter, sekali gus menyerlahkan kreativiti dan sisi misteri dirinya. 

Album berjudul Ruby itu bakal tampil dengan 15 buah lagu pelbagai genre, termasuk single Mantra yang rilis pada 11 Oktober lalu. Difahamkan album ini disediakan dalam tiga versi sebagai pilihan buat peminat.

Menariknya debut album solo itu juga turut menyaksikan Jennie itu tampil berkolaborasi dengan enam penyanyi terkenal iaitu Dua Lipa, Childish Gambino, Doechii, Dominic Fike, FKJ, dan Kali Uchis.

Kolaborasi yang disifatkan sebagai di luar jangkauan, sekali gus menjadikan peminatnya tertanya-tanya seperti apa pengisian dan konsep album ini disajikan Jennie.   



Menyentuh tentang judulnya, mungkin bintang K-Pop sensasi itu mempunyai alasan tersendiri dengan memilih Ruby sebagai judul album solo perdananya ini. Namun sebagaimana diketahui, 'Ruby' merupakan nama tengah kepada nama keduanya, Jennie Ruby Jane.

Dalam masa sama, 'Ruby' juga membawa maksud batu permata merah, yang sekali gus turut menjelaskan pemilihan warna merah yang mendominasi konsep album itu.

Trending

Teaser album tersebut pantas meraih perhatian peminat dan hangat diperbualkan di media sosial dengan reaksi pelbagai. Masing-masing teruja dengan perkhabaran tersebut setelah lama menanti perkembangan terbaharu berkenaan album itu dan dijangka bakal tampil dengan sesuatu yang luar biasa.

Apatah lagi Jennie sememangnya dikenali sebagai seorang artis yang sangat kreatif, genius dan 'perfectionist' dalam menghasilkan setiap karya miliknya.

Jelas dia tidak pernah main-main dan sentiasa serius membawa idea muziknya tanpa ragu meski perlu mengambil masa agak lama sebelum segalanya diyakini sempurna mengikut apa yang diinginkan.   

Ruby merupakan debut album solo Jennie diterbitkan menerusi agensi miliknya Odd Atelier (OA) yang ditubuhkan pada 24 Disember 2023, dengan kerjasama Columbia Records (label di bawah naungan Sony Music).


Terdahulu single Mantra yang rilis tiga bulan lalu cemerlang dengan pelbagai pencapaian termasuk meraih kedudukan nombor 1 di Spotify Top 10 Songs Debut Global, selain berada dalam Top 10 carta lagu popular di Korea Selatan termasuk MelOn, Genie, Bugs dan Flo.  Sehingga kini, lagu itu juga  masih bertahan dengan baik di carta lagu popular Korea Selatan.

Tidak hanya itu, Mantra turut menduduki tangga teratas iTunes di 59 negara, selain menjadi lagu pertama nyanyiannya yang meraih kedudukan terbaik di iTunes Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan lain, Jennie dijadualkan tampil melakukan persembahan sebagai artis solo di Festival Muzik dan Seni tersohor, Coachella di California, pada 13 dan 20 April ini.

Persembahan tersebut bakal menjadi penampilan ketiganya di festival berkenaan selepas tampil dua kali bersama Blackpink pada 2019 sebagai sub-headliner dan pada 2023 di pentas utama sebagai headliner. 

Jennie menjadi anggota ketiga Blackpink yang bakal rilis album solo penuh selepas Rosé menerusi Rosie pada 3 Disember lalu dan Lisa (Alter Ego) yang bakal rilis pada 28 Februari ini. Sementara Jisoo akan tampil dengan single solo terbaharunya pada 14 Februari depan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments