Tunggu masa untuk rilis, Jennie sahkan album solo sudah siap sepenuhnya | FOTO: Instagram Jennie |
Oleh: AILEEN ADAM
MESKIPUN sibuk dengan jadual kerja dan aktiviti seni yang padat, bintang K-Pop sensasi, Jennie tidak pernah lupa untuk berkongsi perkembangan terkininya bersama peminat.
Terbaru pemilik nama penuh Jennie Kim itu berkongsi ucapan dan istimewa bersempena sambutan Krismas buat para peminat yang setia menyokong dan mengikuti perjalanan seninya.
Menerusi kad digital yang direka khas melalui laman web rasminya, pelantun lagu Mantra itu merakamkan ucapan terima kasih penuh kasih sayang untuk peminatnya.
“Terima kasih kerana menjadikan tahun ini begitu istimewa. Memandangkan tahun ini akan berakhir, saya ingin meluangkan sedikit masa untuk mengatakan bahawa saya sangat berterima kasih atas kasih sayang tanpa syarat, sokongan dan dorongan anda.
"Anda telah menjadi sebab untuk banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan, dan saya akan menghargai setiap momen yang kita lalui bersama pada tahun ini,” tulisnya.
Namun paling menarik perhatian, bintang kesayangan ramai yang digelar IT Girl itu, berkongsi perkembangan terbaharu tentang album solonya yang kini sudahpun siap sepenuhnya. Dijangkakan album itu bakal rilis pada 2025.
"Album saya akhirnya datang dan saya tidak sabar untuk berkongsi dengan anda tidak lama lagi," kata Jennie.
Meski ringkas dan tidak dinyatakan butiran lebih lanjut mengenainya, kemas kini terbaharu itu sudah cukup mengundang keterujaan para peminat dan pantas berkongsi perkembangan tersebut di platform media sosial.
Ucapan istimewa Jennie buat peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seninya | FOTO: Website rasmi Jennie |
Masing-masing ternyata tidak sabar untuk menantikan debut album solo Jennie yang sememangnya dikenali sebagai seorang berbakat, kreatif dan 'perfectionist' dalam apa sahaja kerja dilakukan.
Strategi
Tambahan pula, rakan sekumpulannya, Rosé telahpun tampil melancarkan album solonya, Rosie pada pada 6 Disember lalu, manakala Lisa pula menyusul dengan album berjudul Alter Ego pada Februari 2025.
Bagaimanapun, Jennie mungkin mempunyai perancangannya yang tersendiri dalam menyusun strategi dan memilih masa yang tepat sebelum merilis album istimewa itu.
Tahun 2024 menyaksikan penyanyi itu dan anggota Blackpink yang lain iaitu Jisoo, Rosé dan Lisa masing-masing aktif dengan aktiviti seni secara solo.
Terdahulu Jennie yang menubuhkan agensinya sendiri, Ood Atelier (OA) untuk menguruskan kerjaya solonya, tampil dengan single Mantra pada 11 Oktober lalu.
Tidak hanya itu, bintang berusia 28 tahun itu juga melakukan kolaborasi bersama Matt Champion menerusi lagu Slow Motion dan Zico (Spot!).
Lebih manis, kolaborasi bersama Zico turut meraih beberapa kejayaan termasuk memenangi anugerah Kolaborasi Terbaik dan Persembahan Rap & Hip Hop Terbaik di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2024 baru-baru ini.
Justeru, ramai yang meletakkan harapan tinggi kepada album solo Jennie ini yang dijangka bakal menampilkan muzik dan kreativiti berbeza, sesuai dengan bakat istimewa yang dimilikinya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- jennie-lisa-buat-penampilan-solo-di
- rose-hargai-nasihat-perhatian-taylor
- trending-sebaik-sahaja-dilancarkan-rose
TONTON VIDEO PILIHAN
0 Comments