DEMI satu usaha kolaborasi untuk memerangi wabak denggi dan menambah baik kesihatan awam, Takeda Malaysia memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan organisasi peneraju penjagaan terurus MiCare, bersama dengan peneraju-peneraju insurans Great Eastern Life Malaysia, Tokio Marine Life Malaysia, MCIS Life, Hong Leong Assurance dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.
Takeda dan rakan-rakan kongsi bersama-sama akan meningkatkan akses kepada sumber-sumber penting pembasmian wabak denggi, dan pada masa yang sama, memperbanyakkan pendidikan mengenai pelbagai topik kesihatan, dengan fokus kepada kaedah pembasmian wabak denggi bersepadu, termasuk vaksinasi.
Di tengah ancaman meruncing wabak denggi di Malaysia, rakan-rakan kongsi menyasar untuk berhubung dengan 1.7 juta pemegang polisi menyediakan mereka dengan pengetahuan dan sumber penting bagi membanteras wabak tersebut.
Dengan meningkatkan kesedaran mengenai risiko besar denggi dan menawarkan akses kepada vaksinasi denggi sebagai opsyen pembanterasan tambahan, kolaborasi ini merupakan satu pendekatan menyeluruh bagi melindung kesihatan awam di seluruh negara.
Pengurusan wabak denggi melibatkan kos langsung dan tidak langsung yang besar, dengan anggaran beban ekonomi mencecah AS$102 juta (RM447 juta) setiap tahun.
Lebih daripada 90 peritus (%) belanjawan diperuntukkan bagi memerangi wabak denggi dibelanjakan ke atas langkah-langkah kawalan vektor.
Namun, impak yang lebih buruk terhadap rakyat, seperti kualiti kehidupan dan kesan kesihatan jangka panjang, adalah lebih sukar diukur.
Kolaborasi ini dipacu oleh komitmen yang dikongsi bersama bagi mengurangkan impak wabak denggi di Malaysia dan meningkatkan kesihatan komuniti secara keseluruhan serta menangani kesan-kesannya terhadap individu dan negara.
Pakar-pakar kesihatan awam menyarankan bahawa vaksinasi, apabila digabungkan dengan langkah-langkah kawalan vektor bagi menangani perleluasaan populasi nyamuk dan usaha persendirian bagi mengelak digigit, boleh membantu mengurangkan kes denggi dan rawatan di hospital.
Vaksinasi denggi
Satu analisis baru-baru ini menganggarkan bahawa program vaksinasi denggi yang dirancang teliti boleh membantu negara menjimatkan RM4.3 bilion dalam tempoh tiga dekad akan datang.
Menurut Pengurus Besar, Takeda Malaysia & Singapura, kata Dr Lynette Moey, pihaknya komited untuk membina ekosistem kerjasama bagi menyediakan akses kepada vaksinasi denggi sebagai salah satu kaedah di dalam strategi pembasmian denggi bersepadu.
Menerusi kolaborasi dengan syarikat-syarikat pengendali insurans, penyedia penjagaan kesihatan, dan pihak kepentingan utama yang lain, kami membantu meningkatkan kesedaran mengenai wabak denggi, dan membuka laluan baharu kepada orang ramai untuk mendapat akses vaksinasi sebagai kaedah pembasmian tambahan.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan lebih ramai orang dilindungi, terutama di kawasan berisiko tinggi, selaras dengan misi kebangsaan negara untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih sihat serta berdaya tahan,” ujarnya.
Dibantu oleh MiCare, kolaborasi dengan Great Eastern Life Malaysia, Tokio Marine Life Malaysia, MCIS Life, Hong Leong Assurance dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad merangkumi peruntukkan bagi polisi atau sijil individu dan kumpulan.
Setiap pengendali insurans akan melancarkan kempen masing-masing bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pemegang polisi mengenai wabak denggi dan memastikan akses lebih luas kepada kaedah-kaedah pembasmian bersepadu, seperti vaksinasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MiCare, Moses Hee, berkata, dalam tempoh beberapa tahun lalu, pihaknya telah menumpukan sepenuhnya terhadap kaedah mencegah gigitan nyamuk dan mengawal tapak pembiakan nyamuk.
"Ini adalah strategi penting, dan kini amat menggalakkan dengan adanya vaksinasi denggi sebagai sebahagian daripada kaedah tersebut.
"Kita berpegang teguh dengan wawasan kita untuk menjadikan penjagaan kesihatan berkualiti mudah diperoleh dan diakses.
"Kami berbangga dapat menyatukan pihak-pihak kepentingan utama bagi mengukuhkan usaha kita di seluruh negara dalam menyepadukan pelbagai strategi pembasmian denggi dengan hasrat bagi mengurangkan kos pengurusan denggi dan keseluruhan beban sosial akibat denggi,” tegasnya.
Pemegang polisi boleh berhubung dengan penginsurans masing-masing atau MiCare mengenai butiran kelayakan serta syarat-syarat dan terma.
Rakyat Malaysia juga boleh merujuk nasihat doktor di hospital atau klinik persendirian atau lawat knowdengue.my untuk maklumat lanjut mengenai pembasmian dan perlindungan wabak denggi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments