Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Single terbaharu The Lantis, Bunga Maaf raih perhatian di Malaysia

The Lantis | FOTO: Warner Music Malaysia

SELEPAS kejayaan single berjudul Lampu Merah yang kini telah mencecah lebih 65 juta penstriman di Spotify, serta pelancaran album Pancarona, kumpulan rock alternatif Indonesia, The Lantis kembali dengan single terbaharu berjudul Bunga Maaf.

Sejak pelancarannya, lagu tersebut telah meraih hampir 5 juta penstriman di Spotify, manakala visualizer di YouTube mencatat lebih 2 juta tontonan.

Sementara di TikTok pula, audio berdurasi 30 saat telah menginspirasi lebih 124,000 video, sekali gus melonjakkan populariti lagu itu di carta muzik.

Bunga Maaf turut memikat hati pendengar Malaysia, serta menunjukkan populariti yang semakin meningkat di rantau ini.

Malah sehingga 17 Disember, lagu itu telah berjaya menembusi Carta Viral Harian Spotify di pelbagai negara termasuk:

● #3 Carta Viral Harian Top 50 Malaysia
● #22 Carta Harian Top 200 Malaysia
● #5 Carta Viral Harian Top 50 Indonesia
● #59 Carta Harian Top 200 Indonesia
● #24 Carta Viral Harian Top 50 Singapura
● #41 Carta Viral Harian Top 50 Global

Melalui melodi dan liriknya, The Lantis menceritakan kisah penyesalan mendalam dan harapan yang telah musnah akibat hubungan yang terjejas oleh ego di masa lalu. Ia menggambarkan seseorang yang mengharapkan peluang kedua, walaupun peluang itu telah lama berlalu.

Dalam proses penerbitan lagu Bunga Maaf, The Lantis buat pertama kalinya berkolaborasi dengan pemuzik lain iaitu Rendy Pandugo, yang turut menulis dan menghasilkan lagu itu.

Menurut salah seorang anggota The Lantis, Giri, kolaborasi tersebut bermula dengan penghasilan bahan baharu bersama Rendy, yang kemudiannya memberikan sentuhan unik dalam penghasilan lagu itu sekali gu menghasilkan susunan lebih matang dan halus.

Suara vintage 

Bagi kumpulan itu, hasil akhir tersebut menandakan evolusi muzik mereka, menampilkan kesederhanaan mendalam sambil mengekalkan suara 'vintage' yang menjadi identiti kumpulan mereka.

“Kolaborasi dengan Rendy menunjukkan kematangan dalam susunan muzik dan menandakan evolusi semula jadi dari lagu-lagu kami yang terdahulu.

"Hasil akhir lagu ini menyampaikan rasa kesedihan, dan dari segi produksi, ia lebih ringkas daripada lagu-lagu kami sebelum ini tetapi tetap mengekalkan getaran 'vintage' yang telah menjadi identiti kami,” ujar Giri.

Visualizer Bunga Maaf memaparkan protagonis yang cuba meminta maaf dengan memberikan bunga kepada seseorang yang pernah dianggap sebagai 'rumah'.

Seorang lagi anggota The Lantis, Ojan, menjelaskan visualizer tersebut menggambarkan perasaan penyesalan mendalam protagonis kerana kehilangan seseorang yang penting akibat egonya sendiri.

“Setiap elemen dalam visualizer ini mempunyai makna tersendiri, dan malah palet warna 'vintage' itu mewakili protagonis yang masih hidup dalam masa lalu yang telah berlalu,” katanya.

Pada pendengaran pertama, lagu tersebut mungkin kelihatan seperti kisah penyesalan romantik yang biasa.

Namun, terdapat makna yang lebih mendalam di sebaliknya, kerana kesakitan yang diluahkan dalam lagu ini bukan sekadar kisah romantik tetapi juga meliputi mana-mana hubungan yang dibina atas perasaan tulus dan cinta yang mendalam.

Bunga Maaf bawa mesej tersendiri dalam laguFOTO: Warner Music Malaysia


Melalui Bunga Maaf, The Lantis ingin mengingatkan para pendengar bahawa tiada siapa yang terlepas daripada melakukan kesilapan dalam mana-mana jenis hubungan, sama ada persahabatan, cinta, atau kekeluargaan.

Harapan mereka agar karya tersebut dapat memberi makna kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup.

Dalam masa sama, The Lantis juga berharap single terbaharu itu dapat menyentuh hati para pendengar, sama ada peminat yang sudah biasa dengan kumpulan itu ataupun yang baru mengenali muzik mereka.

Sementara itu, Ravi pula berkongsi perancangan The Lantis untuk melengkapkan pelancaran single tersebut dengan sesi live studio dan mungkin menghasilkan video muzik.

Mereka juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan persembahan kecil sebagai kejutan kepada para pendengar.

"Terdapat banyak lagi karya yang sedang dirancang untuk Keluarga Lantis (peminat The Lantis) dan semua penggemar muzik kami.

"Buat masa ini, The Lantis mengajak peminat untuk menikmati Bunga Maaf dan berkongsi rasa melankolia, yang kini boleh diakses di semua platform muzik digital," katanya.

Apa-apun kumpulan itu berharap agar Bunga Maaf dapat diterima seluas lagu hit terdahulu, Lampu Merah, dan akan membuka lembaran baharu dalam perjalanan muzik mereka selepas ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:


TONTON VIDEO PILIHAN

Post a Comment

0 Comments