| FOTO: Sony Music Malaysia |
MENGUBATI rindu peminat, kumpulan KRU yang mengumumkan penghasilan album terbaharu mereka berjudul Kaset pada bulan lalu, kini tampi melancarkan single pertama daripada album tersebut.
Karya istimewa berjudul Voodoo itu dicipta khas buat para peminat muzik serantau yang sentiasa menyokong perkembangan eni mereka.
Mengimbau nostalgia zaman kegemilangan kumpulan yang dianggotai oleh Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edy Abdul Halim itu, Voodoo mengekalkan DNA muzik asal KRU yang bergenre Pop Dance, Hip Hop dan R&B.
Lagu ciptaan ketiga-tiga adik-beradik itu menonjolkan kematangan persembahan vokal, sofistikasi dalam penciptaaan lagu dan kecanggihan dalam penerbitan muzik KRU.
Voodoo mengisahkan tentang keterujaan, kekeliruan dan perasaan seorang lelaki yang terperangkap dalam tarikan mempersona seorang wanita yang luar biasa.
Menariknya, video muzik lagu itu menggambarkan prekuel fiksyen bagi kerjaya Norman, Yusry dan Edry pada era awal 1990-an sebelum pelancaran album pertama KRU pada tahun 1992.
Lebih istimewa, KRU menjadi artis tempatan pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta kembar digital (Digital Twin) mereka dalam video muzik, memperlihatkan inovasi dan kreativiti yang terus menjadi identiti KRU sebagai trendsetter dalam industri hiburan tanah air.
Single Voodoo ubati rindu peminat | FOTO: Sony Music Malaysia |
Mewakili KRU, Norman berkata, Voodoo amat istimewa bagi mereka bukan saja sebagai lagu baharu selepas enam tahun bertapa, tetapi ia juga membuka lembaran baharu industri muzik tempatan bagi penerbitan video muzik sejajar dengan perkembangan teknologi AI.
"Semoga lagu ini mendapat tempat di kalangan peminat muzik masa kini dan menjadi salah satu tarikan untuk peminat membuat 'reunion' bersama kami di konsert Kaset pada tahun akan datang,” ujarnya.
Lagu Voodoo kini berada di kesemua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox dan Spotify. Sementara video muziknya pula boleh ditonton di saluran YouTube krubros. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments