KONSERT band popular Indonesia, Maliq & D'Essentials, Can Machines Fall In Love? Album Tour yang sepatutnya berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 29 Disember ini ditunda pada satu tarikh lain.
Pengumuman tersebut dilakukan penganjur konsert berkenaan, Kharisma Music menerusi satu kenyataan kepada pihak media pada petang Isnin.
"Dengan penuh rasa rendah diri, kami ingin memaklumkan bahawa Maliq & D'essentials Album Tour Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 29 Disember 2024 di Megastar Arena KL, terpaksa ditunda ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak," ujar kenyataan tersebut.
Menurut penganjur, keputusan penangguhan tersebut terpaksa dilakukan atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul, terutamanya kepada anda yang telah membeli tiket.
"Tiket yang telah dibeli akan tetap sah untuk tarikh baharu dan pilihan untuk mendapatkan refund tiket turut disediakan.
"Untuk sebarang perkembangan terkini, sila rujuk saluran komunikasi rasmi kami. Kami menghargai sokongan anda yang tidak berbelah bahagi dan sekali lagi memohon maaf atas kesulitan ini," kata kenyataan itu.
Keadaan luar jangka
Sementara itu Maliq & D'Essentials yang dianggotai oleh Angga Puradiredja, Indah Wisnuwardhana, Widi Puradiredja, Jawa, Lale dan Ilman Ibrahim itu mengakui keputusan itu tidak dibuat dengan mudah dan ia diluar adalah keadaan di luar jangka.
"Pertama sekali, izinkan kami berkata, anda adalah sebab kami melakukan apa yang kami lakukan. Setiap tiket dibeli, setiap perancangan dibuat dan setiap detik diluangkan untuk bersama kami amat bermakna.
"Oleh itu, keputusan ini tidak dibuat dengan mudah. Walaupun usaha tanpa henti daripada pasukan kami, penganjur dan semua yang terbabit, terdapat keadaan tidak dapat dijangka yang memaksa kami untuk mengubah rancangan.
"Kami boleh meluangkan masa untuk mencari alasan atau menyalahkan sesiapa, tetapi itu bukanlah prinsip kami. Apa yang penting sekarang ialah memastikan supaya kami dapat berikan yang terbaik untuk anda," jelasnya dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi hantaran di laman Instagram hari ini.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 itu kini sedang giat melakukan aktiviti promosi sempena kelahiran album baharu mereka berjudul Can Machines Fall In Love? yang dilancarkan pada Mei lalu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments