BARANGKALI seperti kata Shiha, dia sentiasa ingin memberikan yang terbaik dan menghiburkan tanpa mengharapkan kemenangan.
Itulah kata-kata yang sering Shiha Zikir lontarkan setiap kali ditanya tentang harapannya dalam sesebuah pertandingan.
Iya. Insan seni seperti Shiha bukanlah berada dalam kalangan penyanyi yang sentiasa diperkatakan ketika ini.
Namun apa yang patut dipuji adalah perjuangan seninya yang sentiasa ada dan masih bertahan sehingga kini.
Shiha serba boleh. Menyanyi lunak terutama lagu tradisi, lincah menari, boleh berlakon, berlawak dan mengacara.
Lalu apa lagi yang membataskan langkah Shiha untuk sebaris dengan pesaing seperti Aina Abdul maupun Ernie Zakri? Jawapannya mudah sahaja. Masanya belum tiba.
Ahad lalu, Shiha dan kakaknya, Ieda mengenepikan calon juara lain iaitu Ayie dan Salma serta Tomok dan Sharul pada pentas akhir Famili Duo 2024.
Usaha keras yang akhirnya membawa kejayaan buat pasangan adik-beradik ini | FOTO: Instagram Shiha Zikir |
Siapa sangka mereka yang dilihat ‘underdog’ berjaya memberikan persembahan memukau dalam dua konsep persembahan berbeza.
Selepas Famili Duo, pasangan Shiha dan Ieda perlu muncul dengan single terkini untuk meneruskan kesinambungan kejayaan.
Kita tidak mahu nasib juara program ini terus tenggelam selepas final seperti mana sebelum ini. Shiha dan Ieda perlu memberi sesuatu yang berbeza untuk single mereka nanti.
Famili Duo berjaya dengan konsepnya. Saya yakin pada tahun mendatang program ini akan menjadi jenama utama TV3, selain AJL.
Kekalkan dua juri berbeza. Seorang untuk vokal dan seorang lagi untuk persembahan. Ia amat sesuai dengan konsep seni persembahan Famili Duo.
Program ini mungkin tidak perlu terikat lagi dengan konsep persaudaraan. Gandingkan sesiapa juga yang berbakat di media sosial dengan para selebriti yang boleh menyanyi dan berkreatif.
Perubahan sebegini amat sesuai untuk kemeriahan yang lebih berjaya untuk Famili Duo. Tahniah untuk semua. - 7KLIK
~ Nota by Jebat Iskandar ~
ARTIKEL LAIN:
0 Comments