Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Saya rasa ia adalah penindasan" - Aisha Retno kesal tiada perbincangan daripada penganjur sebelum umum batal konsert

| FOTO: Instagram Aisha Retno

Oleh: SORAYA AFNAN
PENYANYI Aisha Retno menyifatkan pengumuman pembatalan konsert solonya yang dibuat penganjur, Kharisma Music International pada Sabtu tanpa sebarang perbincangan dengan pihaknya sebagai tidak profesional. 

Menurut pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, berita itu bukan sahaja mengejutkan para peminat, tetapi dirinya sendiri.

Menerusi penjelasan yang dilakukan menerusi hantaran video di laman Instagram miliknya, bintang 24 tahun itu berkata, dia masih mahu meneruskan konsert tersebut tetapi terpaksa akur apabila pembatalan itu telah dimuktamadkan oleh penganjur.   

"Pembatalan konsert serta merta oleh penganjur atas beberapa sebab benar-benar mengejutkan saya dan pihak pengurusan.

“Daripada kenyataan yang dikeluarkan, mereka berkata saya tidak ingin menunda atau meneruskan konsert ini. Namun hakikatnya, kalau diberi peluang saya nak lakukan konsert itu, tetapi keputusan sudah dibuat dan tidak boleh buat apa.

“Saya terbuka untuk melakukan perbincangan, tetapi mereka tidak mahu. Mengenai pembatalan itu, mereka sepatutnya memaklumkan kepada saya dahulu sebelum membuat pengumuman agar saya tahu apa yang sedang berlaku," ujarnya.

Jelas Aisha lagi, pada awalnya dia ragu-ragu untuk menerima tawaran menjayakan konsert tersebut kerena menyedari masih kurang pengelaman dan terlalu baharu dalam industri seni.

Namun setelah diyakinkan pihak penganjur, dia berbesar hati untuk menerima dan mengambil peluang tersebut sebagai cabaran. Pun begitu, kata Aisha, dia sama sekali tidak menyangka akan berakhir begini.

"Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini dan anggap ia sebagai rezeki. Namun saya tidak sangka ia akan berakhir di jalan seperti ini.

"Apabila perkara sebegini terjadi, ia memberikan impak besar dalam kerjaya saya. Malah disebabkan komitmen pada konsert ini, saya banyak menolak tawaran persembahan lain.

"Saya cuba bertanyakan tentang status konsert ini sebelum ini tetapi pihak mereka tidak memberikan sebarang perkembangan," luah Aisha kesal.

Dipersalahkan

Dalam perkongsian sama penyanyi yang popular dengan lagu Sutera itu berkata, dia juga terkilan apabila dirinya seolah-olah dipersalahkan atas isu penjualan tiket yang dijadikan alasan pembatalan konsert tersebut.


“Apa yang saya tahu, soal jualan tiket, perancangan kewangan dan pemasaran sepatutnya menjadi tanggungjawab penganjur.

"Namun apa yang terjadi mereka lemparkan tugas-tugas itu kepada saya sebagai artis dan saya tak rasa ia sepatutnya jadi begitu untuk penganjuran sesebuah konsert.

“Apabila keluar kenyataan sebegitu, mereka seolah-olah salahkan saya berkaitan jualan tiket dan status konsert itu. Saya rasa  ia adalah satu penindasan," katanya.

Bagaimanapun, Aisha akur dengan apa yang berlaku dan menganggap tiada rezeki buatnya untuk mengadakan konsert solo buat masa ini.

Percaya kepada hikmah yang menanti, penyanyi ini mahu terus jalan ke depan dan terus aktif dalam bidang nyanyian yang menjadi minatnya selama ini.

"Saya ingin meminta maaf kepada semua peminat yang sudah beli dan nak beli tiket konsert saya itu. Walaupun sepatutnya ia berlangsung minggu depan, tapi mungkin belum ada rezeki lagi.

"Saya hanya ingin menyanyi, melakukan persembahan dan menghiburkan orang ramai. Saya hanya ingin melaksanakan minat saya dalam bidang nyanyian.

"Untuk apa yang berlaku ini, saya betul-betul anggap sebagai hikmah dan saya harap anda semua akan terus sokong saya," akhirinya.

Terdahulu, pihak penganjur pada Sabtu mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 16 November ini dibatalkan kerana jualan tiket rendah. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments