PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan Anugerah Khas Biduanita Negara yang baru sahaja diterimanya bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seninya, tetapi juga lambang penghargaan kepada semua anak seni dalam industry muzik tanah air.
Meluahkan rasa syukur atas pengktirafan tersebut, pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berikrar untuk terus melaksanakan Amanah an tanggungjawabnya sebagai anak seni.
"Pertama sekali, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.
"Terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
"Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, tetapi merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air.
"Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah Siti, dia juga bersyukur dapat memanfaatkan bakat seninya dalam menyampaikan nilai-nila positif pada masyarakat.
"Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
"Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara. Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.
"Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara," katanya.
Terkenang arwah bapa
Dalam pada meraikan kejayaan istimewa itu, penyanyi yang memulakan debut dalam bidang seni selepas menjuarai pertandingan Bintang HMI anjuran RTM pada 1995 itu berkata, dia terkenang kata-kata dan pesanan yang pernah diberikan arwah bapanya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail uati ketika dahulu.
"Ingatan saya tertoleh kembali mengingatkan bait-bait kata ayah saya, Allahyarham Haji Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan saya seperti bunga melur iaitu lagu kegemaran arwah.
"Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana. Walau kering tak bercahaya bunga melur, baumu memikat jiwa..," kenangnya.
Siti baru sahaja melancarkan single baharu berjudul Sejarah | FOTO: Instgaram Siti Nurhaliza |
Berkongsi kegembiraan sama, Siti turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini.
"Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun ini.
"Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
"Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album saya selama ini.
"Penghargaan juga buat semua sahabat-sahabat media di semua platform yang setia memberi sokongan kepada karier saya selama ini. Tidak dilupa buat peminat-peminat tersayang dan pencinta muzik di seluruh rantau ini serta semua yang telah mendukung kerjaya saya selama ini.
"Tanpa penglibatan anda semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat saya kecapi," ujarnya.
Dalam pada itu, Siti mengharapkan agar penghargaan tersebut menjadi inspirasi dan motivasi buatnya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Terdahulu Siti menerima Anugerah Khas, Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada malam Rabu.
Bersempena penganugerahan itu juga, Siti turut melancarkan single baharu berjudul Sejarah, sebuah karya ciptaan komposer terkenal Indonesia Erwin Gutawa dan Gita Gutawa dengan iringan Orkestra Simfoni Czech. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments