Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Pentas tidak tepati piawaian keselamatan, punca Dua Lipa batal konsert di Jakarta


Oleh: AILEEN ADAM

BINTANG pop dunia, Dua Lipa mengumumkan pembatalan konsert jelajah Asia Radical Optimism yang sepatutnya berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Sabtu.

Pembatalan pada saat akhir itu terpaksa dilakukan atas sebab keadaan pentas yang didakwa tidak menepati piawaian keselamatan yang ditetapkan dan tidak selamat digunakan.

Menerusi satu hantaran yang dilakukan di Instagram story miliknya hari ini, pelantun yang popular dengan lagu New Rules itu meluahkan rasa sedihnya tidak dapat beraksi di negara itu meski sudah berada di sana dan bersedia untuk tampil menemui para peminatnya.

"Dengan perasaan sedih saya ingin berkongsi tidak dapat membuat persembahan di Jakarta, hari ini. Saya sudah berada di sini dan bersedia mengadakan persembahan tetapi tidak dapat diteruskan kerana saya dimaklumkan keadaan pentas disediakan tidak selamat berikutan isu keselamatan," ujarnya.

Dua, 29, yang juga merupakan pemenang tiga kali Anugerah Grammy itu kini berada di Jakarta untuk menjayakan konsert jelajah Dua Lipa Radical Optimism Asia Tour sempena pelancaran album terbaharu yang juga merupakan album ketiganya, Radical Optimism.

Dalam hantaran sama, Dua turut meluahkan rasa terkilan kerana dia sememangnya teruja menantikan saat itu, apatah lagi sudah lama tidak mengadakan konsert di negara itu.

"Saya sangat menantikan malam ini dan sungguh menyakitkan saya. Ini kerana saya tidak dapat membuat persembahan untuk peminat selepas sekian lama sejak persembahan terakhir saya di Jakarta.

"Saya sayang kamu semua dan benar-benar tidak sabar untuk kembali bersama dalam ruang sama untuk menyanyi dan menari secepat mungkin," luahnya kesal.


Bintang berketurunan British-Albania itu juga baru selesai menjayakan konsert dua malam di Stadium Tertutup Singapura pada 5 dan 6 November lalu.

Selepas Jakarta, Dua dijadualkan meneruskan sembahan di Filipina (13 November), Jepun (16 & 17 November), Taiwan (20 November), Malaysia (22 & 23 November), Thailand (27 November) dan Korea Selatan (4 Disember).

Berita pembatalan konsert tersebut pantas mengundang kekesalan ramai, terutama peminat yang sudah membeli tiket dan bersedia hadir ke persembahan berkenaan.

Rata-ratanya meluahkan kesal, malah menyalahkan pihak penganjur atas apa yang berlaku dan menyifatkan mereka tidak professional.

Pihak penganjur tampil memberikan reaksi dalam satu kenyataan dengan menegaskan mereka sudah melakukan yang terbaik dan profesional dalam pengurusan konsert terbabit.

"Kami ingin menegaskan bahawa kami bekerja dengan profesional dan dedikasi tinggi untuk memenuhi keperluan produksi bersesuaian dengan standard ditetapkan.

"Kami sudah menyelesaikan persiapan pentas sejak 6 November lalu, bahkan mendapatkan sijil keselamatan struktur daripada jurutera struktur bertauliah dan berpengalaman dalam penganjuran acara berskala besar di Indonesia.

"Bagaimanapun, pihak Dua Lipa tetap merasakan bahawa apa yang sudah dilakukan tidak memenuhi standard mereka. Kami menghormati keputusan ini dan memohon maaf atas kesulitan yang dilalui peminat dan pihak terbabit," katanya dalam satu kenyataan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments