LEGENDA muzik tersohor, Quincy Jones meninggal dunia di kediamannya di Bel Air, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.
Penerbit dan komposer itu terkenal itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun di sisi anggota keluarganya.
"Malam ini, kami terpaksa berkongsi berita pemergian bapa dan saudara kami, Quincy Jones. Walaupun ini merupakan kehilangan amat besar bagi keluarga kami, kami meraikan kehidupan hebat yang dilaluinya dan tahu tiada siapa yang sepertinya," ujar wakil keluarga dalam satu kenyataan.
Ketika hayatnya, Jones memiliki kerjaya prolifik selama lebih 70 tahun dan merupakan antara penerbit paling berpengaruh dalam industri muzik AS.
Jones pernah bekerjasama dengan barisan artis terkenal seperti Count Basie, Frank Sinatra, Stevie Wonder, Michael Jackson, Aretha Franklin dan ramai lagi.
Mendiang meninggalkan jasa yang besar menerusi penglibatannya dalam muzik jazz, pop, hip-hop dan puluhan runut bunyi filem dan televisyen.
Antara karya Jones termasuklah menghasilkan album hit Michael Jackson berjudul Thriller pada 1982, adaptasi Steven Spielberg daripada The Color Purple dan sitkom NBC The Fresh Prince of Bel-Air.
Bintang asal Chicago itu juga telah memenangi 28 Anugerah Grammy dan menerima pelbagai penghargaan termasuk pengiktirafan di John F. Kennedy Center Honors, Pingat Seni Kebangsaan dari Presiden Barack Obama dan kemasukan ke dalam Rock & Roll Hall of Fame. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments