PERNAH menjadi bualan ramai satu ketika dahulu, filem Gadoh yang diarahkan oleh Brenda Dranker dan Namron pada tahun 2009 kini kembali menemui penonton.
Bagaimanapun naskhah hebat itu diberikan sentuhan baharu dalam versi berbeza menerusi pementasan teater muzikal.
Muzikal Gadoh diolah dan digarap oleh pengarah dan penerbit teater disegani, Khairunazwan Rodzy yang akan membawa kembali kisah Zahir, Khalil, Heng dan Raj, beserta watak lain seperti Cikgu Azman, Cikgu Jane dan ramai lagi kepada penonton.
"Idea untuk membawa cerita ini ke pentas teater sudah lama terpendam, dan akhirnya impian untuk mementaskan cerita ini dapat direalisasikan.
"Usaha untuk menjadikan skrip asal naskhah ini kepada teater muzikal adalah satu cabaran yang sangat besar.
"Apa-apapun saya yakin hasilnya nanti akan memberikan impak bukan sahaja kepada peminat asal filem Gadoh, tapi juga peminat-peminat baharu yang mungkin kali pertama akan menonton naskhah ini," katanya.
Muzikal Gadoh dijayakan barisan pelakon muda berbakat yang terdiri daripada Fimie Don, Jasni Fizul, Erry James dan lain-lain.
Pementasan ini juga akan dibantu oleh pengarah muzik, Eli Nyson dan Koreografer, Sara Sulaiman yang sudah tidak asing lagi dalam pementasan teater.
Naskhah ini mengisahkan tentang dua kumpulan pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada satu kumpulan Melayu yang dipimpin oleh Khalil dan satu lagi kumpulan Cina diketuai oleh Heng.
Kedua-dua kumpulan ini sering terlibat dalam pergaduhan akibat prasangka kaum. Sebagai usaha menyelesaikan konflik itu, pihak sekolah mencadangkan penubuhan kelab teater dan mewajibkan kedua-dua kumpulan menyertainya.
Pementasan teater muzikal Gadoh akan berlangsung pada 7 hingga 10 November, jam 3.30 petang dan 8.30 malam di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
Tiket-tiket dijual dengan harga RM55 dan pembelian boleh dibuat melalui pautan: https://www.onetix.com.my/events/teater-muzikal-gadoh/363 . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments