Hot Posts

6/recent/ticker-posts

'Zack kembali mencari Azura' - Jamal Abdillah bawa peminat imbau kenangan dalam konsert istimewa


SUDAH menjayakan ribuan persembahan berskala besar dan kecil sejak lebih 40 tahun bergelar penghibur bukan alasan untuk Datuk Jamal Abdillah berhenti beraksi di atas panggung.

Sebaliknya setiap pengalaman yang diperoleh lewat semua persembahan yang pernah dijayakan sentiasa diambil lalu disatukan untuk sebuah lagi pertunjukan yang penuh bertenaga dan semakin matang.

Maka bukan satu ‘dosa’ apabila penghibur berusia 65 tahun tersebut bakal muncul dengan Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura.

Konsert tersebut dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025 dianjurkan bersama oleh Live Injection dan NJ Resources.

Ia akan menjadi konsert solo perdana Jamal Abdillah pada tahun 2025 sekali gus membuktikan kewujudannya dalam belantika muzik masih relevan dan sentiasa dilihat mampu menawan hati peminat.

Membawa nama yang cukup ikonik di bawah ‘bendera’ konsert kali ini iaitu judul lagu hitnya, Sandarkan Pada Kenangan dan Azura, penganjur percaya dengan magnet penyanyi bersuara emas yang dimiliki Jamal Abdillah akan membuat ruang Zepp Kuala Lumpur penuh.

Edy J daripada Live Injection, berkata, selaku penganjur pihaknya sentiasa melihat kualiti dan jenama seorang penghibur bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah tidak akan pernah pudar selagi berada dalam industri seni tempatan.

“Kami percaya dengan semua pengalaman, pesona dan untaian lagu hit yang telah dirakamkan Jamal Abdillah sejak awal pembabitan sehingga kini, penganjuran konsert ini akan menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia buat peminat.

“Sementelah ini adalah pertama kali Jamal Abdillah beraksi di panggung Zepp Kuala Lumpur secara solo dan suasana yang lebih intim ini akan mencipta momen tersendiri buat penghibur kesayangan ramai ini dan peminatnya,” ujarnya.

Lagu nostalgia

Bagi Jamal Abdillah pula, meski sudah ribuan kali membuat persembahan, bukan bermaksud dia boleh sambil lewa dan berasa tanggungjawab yang diberikan penganjur sesuatu yang ‘ringan’ hanya kerana telah memiliki segudang pengalaman.

Sebaliknya, setiap kali dilamar terbabit dalam persembahan apalagi berskala besar seperti Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, dia akan sentiasa ‘melakukan kerja sekolah’ demi menhadirkan persembahan terbaik.

"Perasaan berdebar akan selalu hadir, tetapi ia ‘dibunuh’ dengan keterujaan yang besar buat saya menyambut kehadiran peminat yang selama ini menjadi tulang belakang perjalanan karier sejak berabad lama," katanya.




Berbekalkan lagu-lagu nostalgia yang cukup pekat di ingatan seperti Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Kekasih Awal Dan Akhir, Sepi Seorang Perindu serta Di Sudut Kamar Hatiku, Jamal Abdillah tidak memerlukan lebih banyak bukti untuk dijadikan daya penarik ke konsert tersebut.

“Memang ini akan menjadi siri persembahan skala besar dari saya sekali lagi sebagai penghibur namun peminat akan melihat dan menikmati rendisi lagu bersifat nostalgia yang disampaikan dalam suasana baharu.

“Harapan saya peminat yang tahu mengenai penganjuran Konsert Dato Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur, 15 Februari 2025 datang beramai-ramai ke konsert ini.

“Kenapa kena hadir? Kerana ia akan menjadi sebuah kenangan terbaik yang akan diberi lalu dinikmati bersama-sama pada awal tahun 2025 nanti,” katanya.

Peminat dan pengikut setia Datuk Jamal Abdillah yang hadir menonton konsert pada malam itu diminta berpakaian era 80’an kerana itu tema pakaian yang ditetapkan.

Tiket onsert dijual dengan harga RM360, RM380, RM340, RM395, RM7,500 (VIP BOX-8 orang). Pembelian boleh dibuat melalui atas talian di ticket2u.com- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments