Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Benar-benar istimewa, Raisa tinggalkan memori indah buat penonton

| PHOTO: Instagram Kharisma Music

KETERUJAAN kala melihat dirinya beraksi di pentas mengalunkan lagu-lagu galau yang menusuk, sentiasa terasa seperti pertama kali menyaksikan persembahannya.

Begitulah pesona sang penyanyi bersuara indah, Raisa yang tidak akan pernah diragukan. Aksi, nyanyian dan interaksinya dengan peminat tidak pernah gagal untuk memikat.

Begitu halnya yang ditampilkan dalam persembahan terkininya pada konsert Raisa: Teristimewa Di Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena pada Ahad lalu.

Pemilik nama sebenar Raisa Andriana yang anggun mengenakan dua persalinan itu, hadir dengan energi luar biasa menghiburkan para peminat menerusi seleksi 20 hits memukau selama lebih dua jam persembahan.

Memulakan dengan lagu Teristimewa sebagai simbolik judul konsertnya, sebelum diteruskan dengan Pergilah, Jatuh Hati, Tak Berharap Lagi, Serba Salah, Bahasa Kalbu, Usai Di Sini, Si Paling Mahir dan Tentang Dirimu.

Raisa yang tampil anggun dengan dua persalinan itu turut menyampaikan lagu Could It Be, Apalah, Cinta Sempurna, Teka Teki, Kali Kedua, Mantan Terindah dan lain-lain.

Bintang berusia 34 tahun yang diiringi lima pemuzik dan lima penyanyi latar yang dibawakan khas dari Indonesia itu benar-benar buat penonton larut dalam galau. Dia terlihat bersahaja, tetapi emosi yang disampaikan lewat lagu-lagu nyanyianya begitu menyentuh ke lubuk hati yang dalam.

Bijak menghidup suasana, Raisa yang juga seorang penulis lagu tidak lupa berkongsi kisah menarik berkait lagu-lagu yang didendangkan. Berselang-seli gurauan, penyanyi asal Indonesia itu tidak lupa menitipkan pesan-pesan penuh makna buat penonton yang hadir.

Penampilan Raisa penuh pesonaPHOTO: Instagram Kharisma Music

Ketika menyampaikan single terbaharunya, Si Paling Mahir, penyanyi itu berkata, selepas memperdengarkan lagu itu kepada peminat, dia terkejut apabila ada yang bertanya, apakah dia yang sentiasa kelihatan ceria dan positif itu benar-benar tahu tentang perasaan mereka yang tersakiti.

"Selepas tampil dengan lagu ini, saya baca komen-komen orang yang mengatakan ceritanya berkait dengan kehidupan yang pernah dilalui, dan turut berkongsi kisah mereka.

"Namun dalam masa sama ada juga yang berkata, Raisa tahu apa ya tentang penderitaan hidup. Tidak sesuai Raisa menulis lagu begini kerana hidupnya tidak pernah susah. Di situlah saya tahu bahawa saya memang 'paling mahir' terlihat baik-baik saja.

"Bagi saya, semua orang pasti mempunyai kesusahan, kesulitan dan rintangannya masing-masing dalam menjalani kehidupan. Namun kita tidak boleh membandingkan kesakitan kita dengan kesakitan mereka," ujarnya yang kali ketiga mengadakan persembahan di Malaysia.

Kongsi energi

Kehangatan persembahan Raisa begitu dirasai apabila peminat dan penonton yang hadir berkongsi energi bersama penyanyi itu dengan turut sama menyanyi sepanjang konsert berlangsung.

Paling ikonik ketika lagu popularnya, Mantan Terindah diperdengarkan, Raisa membiarkan seisi arena 'berkaraoke' lagu tersebut dan sama-sama menghayati bait lirik karya itu.

Dia sepertinya tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu apabila melihat sokongan dan sebegitu rasa cinta yang ditunjukkan para peminat di Malaysia terhadap dirinya.

Paduan suara memukau Raisa bersama Ernie dan HaelPHOTO: Instagram Kharisma Music

Pada persembahan sama, Raisa juga memberi laluan kepada penampilan dua artis terkenal tanah air iaitu Ernie Zakri dan Hael Husaini untuk tampil sebagai artis jemputan.

Peminat julung kalinya menyaksikan Raisa dan Ernie berpadu suara menerusi lagu Anganku Anganmu, manakala Percayalah bersama Hael yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Penyanyi itu juga memberi peluang kepada peminat untuk membuat permintaan lagu yang diinginkan dan dinyanyikan secara spontan ketika itu.

Meskipun ia dilakukan secara random, tetapi segmen tersebut menjadi antara memori indah untuk dikenang mereka yang hadir pada malam itu.

“Sesungguhnya kalian adalah teristimewa dalam hidup saya dan terima kasih kerana hadir menyokong saya pada malam ini," katanya penuh makna.

Raisa menutup kemeriahan konsert dengan melantunkan lagu yang didedikasi khas buat rakyat Palestin berjudul Nyawa dan Harapan, sekali gus memohon penonton agar sentiasa mendoakan kesejahteraan umat Islam di sana.

Tidak hanya nyanyian dan persembahan hebat daripada sang penghibur, tetapi konsert tersebut juga mencuri perhatian apabila tampil dengan paparan audio-visual yang menawan serta bentuk pentas kreatif, selain penggunaan skrin LED yang besar dan berkualiti tinggi.

Konsert Raisa: Teristimewa Di Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Kharisma Music benar-benar memikat dan berbaloi ditonton. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments