SELEPAS kejayaan luar biasa di Malaysia dan Brunei dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM3.5 juta, filem Anak Perjanjian Syaitan 2 siap sedia memasuki pasaran antarabangsa iaitu di Pakistan bermula hari ini.
Tayangan tersebut akan menampilkan versi terjemahan dalam bahasa Urdu dengan berjudul baharu iaitu Gunah yang membawa maksud 'dosa'.
Filem itu terus mendapat perhatian apabila berjaya kekal dalam senarai Top 10 di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei selama tujuh minggu berturut-turut sejak tarikh tayangannya pada 4 Januari lalu.
Dengan kisah seram serta kandungan elemen mistik yang mendalam, Anak Perjanjian Syaitan 2 memperlihatkan perjalanan seorang wanita muda bernama Azlinda, lakonan Eyka Farhana yang berhadapan dengan kuasa ghaib sejak kecil.
Watak Azlinda turut disokong pelakon Alif Satar, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Dian P. Ramlee, Azizah Mahzan dan Shaharuddin Thamby.
Grand Brilliance Studio mempersembahkan filem sekuel seram Anak Perjanjian Syaitan 2 ataupun Gunah yang kini kembali untuk menuntut janjinya di pawagam berperingkat antarabangsa yang mana ia bakal ditayangkan di Pakistan pada 1 November.
Lebih menarik, filem itu akan mengegarkan seluruh Pakistan dengan tayangan sebanyak 38 pawagam terpilih.
Naskhah seram terbabit merupakan arahan Dr. Ahmad Idham, pengarah tersohor yang membuat kemunculan semula dalam arena pembikinan filem selepas empat tahun berehat.
Menurut Dr. Ahmad Idham, kejayaan filem Anak Perjanjian Syaitan 2, yang akan ditayangkan di Pakistan, adalah kejayaan bersama di mana kerjasama antara Grand Brilliance Studios dan Primeworks Studios telah menjayakan filem ituu sehingga menarik minat pasaran luar negara.
"Ini merupakan peluang dan pencapaian besar dan kami ingin berkongsi kegembiraan ini dengan rakan-rakan pembikin filem Malaysia yang lain.
"Industri perfileman tempatan kita kini telah mula mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kita harus terus cekal dan memberikan yang terbaik supaya pada masa hadapan kita dapat menembusi pasaran-pasaran dunia yang lain.
"Harapan kami, semoga filem Anak Perjanjian Syaitan 2 atau Gunah ini akan mendapat sambutan yang baik di Pakistan nanti," ujarnya.
Sambutan
Anak Perjanjian Syaitan 2 mengisahkan tentang perjalanan seorang wanita muda bernama Azlinda dalam perjuangannya menentang pertarungan mistik yang menghantuinya sejak kecil.
Walaupun Azlinda telah didiagnosis secara medikal dengan penyakit 'anxiety disorder', dia yakin bahawa gangguan yang menghantuinya sejak kecil berkait rapat dengan sejarah hitam ibu bapanya, sehinggakan bapanya tidak sanggup lagi untuk membesarkan Azlinda dan tekad menyerahkannya ke pusat kebajikan.
Tambah Dr Ahmad Idham, filem tersebut adalah berbeza daripada pengarahan genre drama dan romantik kerana dengan menggunakan unsur ritual ia mempunyai kekangan yang tersendiri bagi tidak mencetuskan polemik serta menjaga sensitiviti.
"Saya mengharap garapan saya kali ini dengan penulisan skrip dan kuat didukung oleh barisan pelakon hebat dapat diterima ramai sekaligus menarik penonton ke pawagam.
"Tambahan pula, Anak Perjanjian Syaitan 1 mendapat sambutan yang baik walaupun pada masa itu kami terjejas oleh pandemik, tetapi ia masih mendapat kutipan yang memuaskan.
"Dengan sambutan yang lepas, saya yakin untuk menerbitkan naskhah terkini bagi kesinambungan dan sekuel terbaru ini,” katanya.
Gunah diharap dapat memikat hati penonton di Pakistan dengan keunikan kisah seramnya yang mempunyai elemen kerohanian, relevan dengan konteks budaya tempatan.
Tayangan itu juga menandakan satu langkah penting dalam usaha untuk memperkenalkan filem Malaysia ke pasaran antarabangsa dan mengangkat hasil karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Filem ini turut dimeriahkan lagi dengan lagu runut bunyi berjudul Murka atau Cinta nyanyian Puteri Khareeza kerana suaranya yang boleh membuatkan pendengar merinding serta membawa elemen rohani dalam lirik dan melodinya.
Lagu tersebut telah mendapat sambutan hangat dan boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments