BUAT pertama kalinya dalam sejarah Formula 1 (F1), kesemua pasukan bersama pemandu dan prinsipal pasukan akan berkumpul bersama peminat untuk meraikan musim baharu dan ulang tahun ke-75 sukan berprestij itu.
Pasukan tersebut terdiri daripada Alpine, Aston Martin, Ferrari, Haas, Kick Sauber, McLaren, Mercedes, Racing Bulls, Red Bull dan Williams.
Acara tayangan perdana dunia yang belum pernah terjadi ini akan berlangsung pada 18 Februari 2025 pada jam 8 malam hingga 10 malam di The O2, London.
Ia akan turut dikejutkan dengan visi kreatif Brian Burke dari BrianBurkeCreative, Stufish Entertainment Architects, DX7 Design dan syarikat produksi 1826.
Malam penuh kejutan dan luar biasa itu akan menyaksikan peminat terlibat dalam drama dan kehebatan F1, apabila mereka bersama pasukan akan memperkenalkan livery 2025 mereka bersama barisan pemandu untuk musim yang akan datang.
Semasa acara interaktif ini berlangsung, tetamu akan disajikan dengan temu bual bersama tokoh-tokoh utama sukan permotoran itu termasuk pemandu dan Prinsipal Pasukan.
Tiket untuk penyertaan acara ini akan mula dijual pada jam 10 pagi, Jumaat 15 November melalui laman web www.theo2.co.uk/F175live .
Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal masih dapat menonton acara ini secara langsung. Butiran penyiaran dan maklumat lanjut tentang acara itu akan diumumkan dalam tidak lama lagi.
Kejutan luar biasa
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali, berkata, ini adalah julung kali acara itu mempertemukan peminat dengan kesemua 20 bintang sukan daripada pasukan yang terlibat untuk musim baharu nanti.
"Ini adalah pertama kali kami melibatkan peminat dengan kesemua 20 bintang sukan F1 dan beberapa tetamu istimewa.
"Acara itu juga secara rasmi menandakan permulaan musim baharu dan menandakan tahun ke-75 perlumbaan sukan ini.
"Tahun 2025 dijangka menjadi musim klasik selepas semua drama yang berlaku pada 2024 dan ini adalah peluang hebat untuk peminat dari semua peringkat umur merasai pengalaman menyaksikan dari dekat kehebatan luar biasa musim baharu anti," katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan Pengarah BrianBurkeCreative, Brian Burke, menganggap kepercayaan yang diberikan untuk mengendalikan siaran langusng acara berprestij itu adalah satu penghormatan luar biasa buatnya.
“Ia adalah satu penghormatan luar biasa untuk kami terus bekerjasama dengan F1 dalam mencipta pengalaman hiburan baharu, terutamanya bagi acara pelancaran musim 2025 yang turut meraikan ulang tahun ke-75 sukan ini.
"Melalui kerjasama dengan kesemua 10 pasukan, peminat boleh yakin bahawa kami akan menyampaikan pengalaman langsung yang benar-benar menarik yang menggabungkan pelancaran livery baharu, temu bual dengan nama-nama terbesar dalam F1, dan hiburan canggih.
"Ia akan menjadi acara yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan tidak boleh dilepaskan,” katanya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments