Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Zee Avi Kembali dengan 'gerakan' baharu selepas 13 Tahun tanpa album

| FOTO: Carlos Kho

MEMPERKENALKAN Zee Avi cukup dengan menamakan beberapa hitnya seperti Kantoi, Bitter Heart sehingga Concrete Wall yang telah mencetak banyak sejarah peribadi sekali gus membanggakan industri muzik tempatan di mata dunia.

Karya-karya bermutu yang pernah dilahirkan pemuzik asal Sarawak itu membuatkan penggemar lupa Zee Avi sebenarnya sudah 13 tahun tidak memasarkan album baharu.

Namun khabar baik menyapa semua peminat apabila pemuzik berbakat besar itu mengumumkan sedang mempersiapkan album terkini yang juga ketiga daripadanya.

Lebih istimewa, anak seni berusia 38 tahun itu turut mengumumkan ‘gerakan’ baharunya akan disertai bersama band yang diberi nama Zee Avi And The Good Things.

“Hampir 13 tahun sejak album terakhir saya, Ghostbird dipasarkan, saya kini mempersiapkan album ketiga. Ya, album penuh dengan sekitar 10 hingga 11 buah lagu.

"Apa yang berbeza kali ini, saya kini bergerak secara indipendent. Jadi saya lebih bebas berkarya dan bebas untuk sempurnakan album ini.

“Malah muzik album kali ini lebih mencerminkan kematangan berkarya saya dan dengan sentuhan band saya, Zee Avi And The Good Things," jelasnya.

Zee Avi And The Good Things terdiri daripada Zee Avi sendiri dengan gabungan Raja Farouk sebagai pemain bass, Jude Macson (gitar), Yuswa Ansari (bass) dan AKZ (pengarah muzik serta drum/perkusi).

 Zee Avi And The Good Things FOTO: Carlos Kho

Tambah Zee Avi lagi, dia sendiri teruja menyiapkan lbum tersebut yang disifatkan cukup istimewa buat dirinya.

“Tentu sahaja production dan sound di album ini lebih 'fresh' tapi personal. Paling best, semua pemuzik dari Malaysia,” ungkapnya.

Pada saat album ketiga itu hampir disempurnakan, Zee Avi bagaimanapun terlebih dahulu menyapa peminat dengan single baharu yang cukup versatil dan unik.

Diberi judul Oyasumi Na Sayang, ia merupakan single kolaborasi bersama band dari Fukuoka, Jepun, MuchaMuchaM yang dihasilkan dengan campuran bahasa Melayu dan Jepun.

Oyasumi Na Sayang adalah kolaborasi saya bersama band MuchaMuchaM Jepun dan dihasilkan dalam bahasa Melayu dan Jepun.

“Pembikinan lagu ini juga sangat unik kerana semuanya dilakukan secara maya. Mereka berada di Jepun, manakala saya pula di Malaysia.

"Proses kreatifnya bermula dengan karya atau komposisi lagu tanpa melodi dan lirik daripada mereka. Kemudian saya menyumbangkan melodi dan lirik dalam bahasa Melayu,” ujarnya.

Tambah penyanyi berbakat itu lagi, single tersebut mempunyai dua versi iaitu Oyasumi Na Sayang daripada versi MuchaMuchaM, manakala versi disko dihasilkan oleh Zee Avi And The Good Things bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Sementara menunggu versi disko, peminat boleh menikmati Oyasumi Na Sayang versi MMM, di semua platform streaming.

“Saya dan MuchaMuchaM baru rilis EP yang menampilkan tiga buah lagu dengan dua lagu original dan satu cover yang menyaksikan saya menyanyi dalam Bahasa Jepun,” katanya teruja.

Kolaborasi Fourtwenty

Di sebalik kesibukan pembikinan album ketiganya, Zee Avi juga aktif membuat persembahan. Antara yang menanti peminatnya adalah kemunculan Zee Avi pada dua festival besar iaitu Axean Festival dan Kuching Jazz Fest.

“Saya secara peribadi sangat teruja untuk membuat persembahan di Axean Festival dan Kuching Jazz Fest kerana ini akan menjadi panggung perdana buat saya muncul bersama Zee Avi and The Good Things.

“Saya juga tidak sabar untuk kongsikan sound baharu kami,” katanya lagi," ujarnya.

Zee Avi teruja kolaborasi dengan FourtwentyFOTO: Carlos Kho

Lebih mengujakan, Zee Avi juga menerima lamaran untuk beradu seni dengan band popular Indonesia, Fourtwenty untuk dua persembahan pada masa terdekat.

“Saya menerima emel daripada pihak pengurusan mereka dan tentu sahaja saya berbesar hati menerima peluang yang sangat istimewa dan unik ini. Sebagai anak seni, saya memang gemar berkolaborasi dengan artis-artis dari luar Malaysia.

“Saya baru dijemput oleh Fourtwnty untuk sesi latihan bersama mereka di Jakarta dan saya sangat kagum dengan etika kerja mereka dan pengurusan team mereka.

“Banyak yang boleh dipelajari daripada saudara-saudara kita di Indonesia, terutamanya dalam industri muzik mereka, filosofi, dan penghormatan mereka terhadap kesenian yang direka dan terhadap komuniti mereka,” akuinya.

Sementara itu di luar konteks persembahan, Zee Avi menggunakan pengaruh namanya sebagai individu yang dikenali dengan menganjurkan kutipan amal termasuk yang dilakukan baru-baru ini khas buat kanak-kanak di Gaza dengan kerjasama Mercy Malaysia di BoboKL.

Penyanyi ini juga menyatakan keterbukaan untuk terus diberi peluang memberi sumbangan terhadap komuniti Malaysia.

Sokongan suami 

Untuk semua perjuangan seni yang kembali dikayuh, Zee Avi bersyukur kerana suami yang dinikahi sejak 2021, Kenji Matano sentiasa menjadi pendukung sejatinya.

“Dia adalah penyokong terkuat dan terbesar saya. Sentiasa memberi sokongan yang positif kepada saya, terutama jika saya ada rasa keraguan terhadap keyakinan diri.

“Saya rasa, ini semua adalah mungkin lebih penting bagi saya untuk teruskan perjalanan seni ini,” kata Zee Avi optimis dengan sokongan yang diberikan kepada dirinya. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
[FOTO: Carlos Khu - Terima kasih Opie)

Post a Comment

0 Comments