Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Watsons, Warner Music hidupkan kembali Stadium Merdeka dengan Futureland Festival


WARNER Music Malaysia bakal menyemarakkan lembaran baharu dalam persembahan muzik di lokasi ikonik, Stadium Merdeka sebagai lokasi konsert Futureland Festival yang akan berlangsung pada 23 November tahun ini.

Acara itu mendapat kerjasama daripada Watsons Malaysia sebagai penaja utama yang turut meraikan ulang tahun ke-30 mereka di Malaysia.

Futureland Festival meraikan masa depan muzik Malaysia dengan mengetengahkan kreativiti dalam kalangan artis tempatan dan menyediakan platform untuk mereka menyinar serta mendekati peminat.

Antara artis yang bakal memeriahkan festival ini ialah Hujan, Bunkface, Kugiran Masdo, Aina Abdul, Ayda Jebat, Syamel, Tuju, Zynakal, Fimie Don, Amsyar Lee, Rizal Rasid, Empty Page, Fugo dan ramai lagi. 

Pengarah Urusan Warner Music Malaysia & Singapura, Dinesh Ratnam berkata, pihaknya cukup teruja untuk melancarkan Futureland Festival sejajar dengan komitmen mereka untuk industri muzik tanah air.

“Kami amat berbangga dapat menganjurkan acara muzik pertama di lokasi bersejarah ini selepas ia menjalani proses pengubahsuaian.

"Ia menawarkan pengalaman muzik yang unik dalam menghormati sejarah kita sambil membuka jalan untuk masa depan muzik Malaysia.

“Kami juga gembira dapat bekerjasama dengan Watsons Malaysia. Ia bukan saja meningkatkan keupayaan kami untuk menyampaikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pencinta muzik, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka untuk menyokong seni dan budaya tempatan,” ujarnya.

Selain persembahan muzik, ia akan menampilkan Watsons Glow Up Zone, merangkumi pelbagai bidang kecantikan dan kesihatan daripada Watsons Malaysia.

Pengunjung juga boleh mendapatkan hadiah percuma, sampel barangan dan pengalaman interaktif yang menarik. Ia turut dimeriahkan dengan ‘pop-up stores’, lukisan grafiti dan banyak lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Watsons Malaysia dan Ketua Pegawai Operasi Health & Beauty Asia, AS Watson Group, Caryn Loh berkata, sebagai peneraju peruncit produk penjagaan kesihatan dan kecantikan nombor satu di dalam dan luar talian, Watson Malaysia teruja untuk bekerjasama dengan Futureland Festival yang pastinya menyeronokkan di samping meraikan ulang tahun mereka ke-30.

“Kerjasama ini bukan sekadar meraikan muzik, tetapi juga salah satu cara kami memberi ganjaran kepada ahli dan pengguna dengan promosi dan tawaran eksklusif.

“Di Watsons, ia bukan sekadar untuk kesihatan dan kecantikan, tetapi kami berusaha lebih dari itu. Kami juga mahu pelanggan melihat kami sebagai hab untuk gaya hidup dan hiburan.

"Festival ini adalah peluang terbaik kami untuk menggabungkan dua jenama ikonik dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Stadium Merdeka yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur sudah menjadi saksi penting dalam sejarah tanah air, termasuk sebagai lokasi Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan tanah air.

Lokasi ikonik ini juga pernah menjadi lokasi persembahan ramai bintang antarabangsa dan serantau sekali gus menyemarakkan lagi landskap muzik Malaysia.

Selepas menjalani proses pembaikan yang teliti dan peningkatan kemudahan sambil mengekalkan daya tarikan sejarahnya pada April 2019, Stadium Merdeka membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 17 Ogos lalu.

Menerusi kekayaan warisan dan infrastruktur yang dikukuhkan semula, ia menjanjikan satu lokasi yang sempurna untuk konsert di Futureland Festival nanti yang tidak akan dilupakan.


Tiket Futureland Festival kini boleh dibeli dengan harga istimewa untuk promosi pembelian ‘early bird’, RM50 dan RM75, manakala Harga biasa ialah RM75 dan RM120. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web:  https://www.ticketmelon.com/warnermusicmalaysia/futureland2024- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments