Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Sal Priadi bakal kongsi perjalanan emosional bersama peminat di Malaysia

Sal Priadi anggap konsert di Malaysia cukup istimewa | FOTO: Kharisma Music

DIKENALI dengan karya-karya puitis dan penuh emosi, kehadiran penyanyi asal Indonesia, Sal Priadi untuk menjayakan konsert istimewanya di Malaysia cukup dinantikan.

Pemilik nama sebenar Salmanto Ashrizky Priadi yang cukup popular dengan lagu Gala Bunga Matahari itu bakal menghiburkan peminatnya menerusi konsert Sal Priadi Zuzuzaza Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur, jam 8 malam, pada 13 Oktober ini.

Sal Priadi dijadualkan membawa penonton melalui sebuah perjalanan emosional yang memukau pada persembahan itu nanti.

“Ini adalah kali pertama saya mengadakan persembahan berskala besar di Malaysia dalam siri jelajah Sal Priadi Zuzuzaza Tur 2024.

"Saya akan mempersembahkan lagu-lagu daripada album kedua saya Markers & Such Pens Flashdisks yang menceritakan tentang semangat kreativiti dan keyakinan untuk mencipta sesuatu yang bermakna,” ujarnya.

Dalam pada itu, bintang kelahiran Malang, Indonesia itu turut berkongsi pengalaman berharga semasa kunjungannya ke Kuala Lumpur tahun lalu.

“Kuala Lumpur mempunyai makna yang istimewa dan dekat di hati saya. Selepas melakukan showcase album tahun lalu, saya ingin berkongsi pengalaman tersebut dengan peminat dalam bentuk konsert yang lebih besar.

“Peminat akan disajikan dengan persembahan saya selama dua jam dengan hampir 20 buah lagu yang diambil dari kedua-dua album saya," katanya.

Dari kiri: Ahmad Jeffny (CEO Kharisma Music) , Sissy Iman, Sal Priadi, Yuka Kharisma (Kharisma Music), Elsa Laela Dewi (Citilink Airline) - FOTO: Kharisma Music

Sekitar majlis sidang media konsert Sal Priadi Zuzuzaza Live In Kuala Lumpur | FOTO: Kharisma Music

Pada konsert anjuran Kharisma Music itu, para penonton akan turut disajikan dengan paparan audio visual kreatif direka khas untuk menonjolkan jalan cerita setiap lagu yang dinyanyikan oleh Sal Priadi.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny, konsert Sal Priadi Zuzuzaza Live In Kuala Lumpur merupakan inisiatif pihaknya dalam menghadirkan hiburan ‘live’ buat peminat penyanyi itu yang ada di Malaysia dan seluruh rantau Asia.

"Konsert ini merupakan peluang istimewa bagi peminat untuk menyaksikan sendiri persembahan secara langsung daripada salah seorang bintang muzik paling menonjol dalam industri muzik Indonesia masa kini.

“Kami teruja untuk membawa Sal ke Kuala Lumpur. Konsert ini akan menyediakan platform untuknya berinteraksi secara lebih dekat dengan peminatnya, dan kami yakin ia akan menjadi malam yang penuh dengan keajaiban dan kenangan yang terindah," ujarnya.

Tiket konsert Sal Priadi Zuzuzaza Live In Kuala Lumpur dijual dengan harga RM158, RM188, RM258 dan RM4000 (VVIP Box). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web ticket2u.com.my/sal-priadi - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments