Oleh: AILEEN ADAM
SEJAK dua minggu, bintang K-Pop sensasi, Jennie mencetus penasaran di seluruh jagatraya dengan mengumumkan tarikh rilis single solo terbaharunya, Mantra yang akan menemui peminatnya esok, 11 Oktober.
Membawa pesona tersendiri, anggota Blackpink itu menyediakan beberapa teaser misteri yang dibocorkan satu demi satu menjelang tarikh rilis sehingga menguatkan rasa teruja peminat terhadap lagu yang merupakan debut label miliknya, Odd Atelier dengan kerjasama Columbia Records itu.
Umum mengetahui bagaimana pemilik nama sebenar Jennie Kim itu sentiasa serius dengan apa yang dikerjakan terutama berkaitan muzik dan dia bakal membuktikan sekali lagi menerusi Mantra yang khabarnya direncanakan dengan cukup teliti untuk disiapkan.
Bersesuaian dengan kualiti dan keistimewaan single tersebut, strategi promosi yang dilakukan juga luar biasa hebat biarpun bintang berusia 28 tahun itu sudah sedia ada memiliki daya tarik magnetis dan populariti yang tidak diragukan di peringkat global.
Promosi single berkenaan boleh disaksikan menerusi rangkaian papan iklan utama di kebanyakan kota besar dunia (termasuk Kuala Lumpur) dengan konsep dan 'look' yang berbeza-beza. Kreativiti muzik dan fesyen digabungkan dengan penuh pesona sekali gus menyerlahkan hasil seni yang unik.
Papan iklan single Mantra di Lot10, Kuala Lumpur (kiri) dan beberapa kota utama lain di dunia. |
Begitu juga pembikinan muzik videonya yang terlihat begitu unik dan dikerjakan dengan penuh teliti. Meski baru dipertontonkan teasernya, tetapi kita dapat melihat sesuatu yang luar biasa pada konsep dan visual karya tersebut.
Jennie ternyata telah meletakkan usaha yang begitu besar untuk buah tangan terbaharunya ini. Dia memperlihatkan kesungguhannya dan bukan sekadar tangkap muat untuk 'menjual' lagu baharu dengan populariti besar yang dimiliki.
Tidak hairanlah dia mengambil masa hampir setahun sebelum benar-benar tampil dengan single Mantra dan bakal disusuli dengan album solo penuh tidak lama lagi.
Terdahulu pada 8 Oktober, penyanyi itu buat pertama kalinya menampilkan lagu tersebut pada rakaman program MBC Music Core yang turut dihadiri 300 orang peminatnya. Difahamkan acara itu bakal disiarkan pada 19 Oktober depan.
Jennie dalam pelbagai gaya dan visual. |
Menariknya, mereka yang hadir telah berkongsi pengalaman istimewa itu dengan menyatakan Mantra adalah sebuah karya yang berkualiti dan cukup istimewa daripada Jennie.
Tidak kurang yang membocorkan, selain koreografi hebat yang ditampilkan untuk lagu itu, pelantun lagu Solo dan You And Me itu juga kembali tampil dengan aksi rap hebat yang menjadi antara ciri khas dirinya sebelum ini.
Ya, Jennie Kim tidak main-main. Jadi seperti apa Mantra dikerjakan? Kita tunggukan rilis rasminya esok. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments