PENTAS Seni Merdeka kembali untuk tahun ketiga, menghidupkan semangat sejarah dan budaya di kawasan wrisan Dataran Merdeka.
Sebagai sebahagian daripada Festival Kreatif KL, inisiatif ini antara hasil positif daripada Memorandum Persefahaman antara Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selaras dengan Pelan Induk Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur serta Kerangka Ekonomi Madani.
Program itu bertujuan untuk mentransformasi pusat bandar Kuala Lumpur dengan mengaktifkan ruang awam dan menyerlahkannya sebagai destinasi kreatif.
Pentas Seni Merdeka menampilkan persembahan tradisional Adiguru atau Tokoh Seni tempatan serta serantau kepada khalayak ramai.
Pada edisi tahun ini, Ronggeng Melayu, seni tarian tradisional yang lahir daripada pertembungan budaya di Selat Melaka, menjadi tumpuan utama.
Persembahan tersebut dipersembahkan oleh Nusantara Performing Arts Research Centre (NusPARC) dan Nyala Dance Theatre, bersama penari berbakat tempatan.
Selain itu, acara yang hoskan oleh DJ Sonic Hussein dimeriahkan dengan persembahan oleh Kombo Budaya DBKL, Artis Budaya DBKL, dan Artis Tari Kanak-Kanak DBKL, diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi Syura.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata, Pentas Seni Merdeka bukan sekadar acara persembahan seni tetapi selari dengan Teras 3 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) iaitu Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya.
"Ia adalah platform untuk merapatkan hubungan masyarakat dengan warisan budaya, memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati seni budaya tempatan secara mendalam, dan seterusnya memperkukuh identiti Malaysia melalui ibu negara kita,” ujarnya.
Sementara Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Shariff, pula menyifatkan Kuala Lumpur mempunyai potensi besar untuk diiktiraf sebagai Bandar Kreatif UNESCO.
"Program seperti Pentas Seni Merdeka merupakan contoh nyata bagaimana kita boleh memperkukuhkan kedudukan bandar ini di peringkat nasional dan antarabangsa, menjadikannya destinasi kreatif yang diiktiraf.
"Dengan usaha berterusan ini, kita akan terus mengetengahkan ibu kota Kuala Lumpur, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Pentas Seni Merdeka dibawakan oleh Think City dan DBKL, dengan sokongan Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah.
Program tersebut akan diteruskan pada 9 November 2024, menampilkan Tarian Branyo & Malio, dengan kerjasama PUSAKA. Untuk program penuh dan butiran acara, layari kreatifkl.com . - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments