MAHU tampil dengan karya yang membawa mesej pendengar, penyanyi Luqman Podolski sentiasa mencari ilham dan inspirasi dalam kehidupan seharian.
Terbaru, bintang berbakat itu mengetengahkan tema berkaitan sikap tidak sedar dengan kemampuan diri sebagai antara sifat yang sering membelenggu segelintir masyarakat.
Situasi yang sering berlaku itu menarik minat Luqman untuk menghasilkan sebuah lagu berjudul Tak Sedar Diri yang dilancarkan pada 6 September lalu. Single yang menampilkan kolaborasinya bersama penyanyi SYA itu merupakan hasil ciptaan Kim Manul, SYA dan Bo Amir Iqram.
Luqman mengakui penulisan lagu itu merujuk situasi yang dialami sebahagian daripada ahli masyarakat yang tidak sedar dan tidak memahami dengan keadaan diri mereka sendiri.
Membawa intipati lagu yang dilhamkan daripada senario tersebut, bait-bait liriknya ditulis secara sinikal, penuh makna dan ‘kena’ dengan mereka yang berada dalam situasi itu.
“Ramai dalam kalangan kita yang tidak sedar dengan kekurangan diri dan tidak memahami situasi sedang dihadapi.
"Apabila mereka tidak menyedari perkara berkenaan akan timbul banyak masalah selepas itu. Mereka yang tidak sedar diri ini biasanya bersifat narsistik dan boleh dirujuk sebagai seorang yang sombong.
"Sifat terlalu yakin ada kalanya akan membuatkan mereka tidak memahami batasan diri sendiri dan pada akhirnya mendatangkan masalah kepada orang lain," ujarnya.
Luqman yang bernaung di bawah pengurusan Warner Music Malaysia menganggap single Tak sedar Diri sebagai karya yang lari daripada kebiasaannya sebelum ini.
"Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman luas dalam bidang muzik terutamanya Bo Amir. Kehebatan lelaki berkenaan dalam bidang penciptaan cukup dikagumi berdasarkan beberapa karya yang pernah dihasilkan seperti lagu," katanya.
Penyanyi yang sebelum ini dikenali dengan lagu Kalau Kau Rindu itu juga mengakui proses rakaman single terbaharunya itu di luar jangkaannya apabila berpeluang bekerjasama dengan ramai individu hebat sepanjang proses rakaman dan pemikinan video muzik (MV).
“Ketika proses rakaman bemula, saya dipertemukan dengan mereka yang sudah berpengalaman luas dalam bidang muzik. Proses yang dilalui juga amat menarik dan saya sendiri banyak belajar perkara baharu daripada mereka.
“Saya juga kagum dengan SYA yang mempunyai vokal dan cara sebutan yang berbeza daripada penyanyi lain. Dia merupakan penyanyi yang 'underrated' dan suaranya mempunyai pesona tersendiri.
"Jadi gabungan dalam projek kali ini saling melengkapi antara satu sama lain,” akuinya.
MV Istimewa
Mahu memberikan kelainan kepada single Tak Sedar Diri, Luqman berkata, pelbagai input dicanai oleh pasukan produksi bagi menghasilkan sebuah MV menarik.
Konsepnya mengambil inspirasi daripada Gotham City yang popular menerusi filem Batman. Pemilihan tersebut tidak hanya tertumpu kepada 'look & feel' semata-mata, malah pelbagai idea digarap oleh Kinggolddigga yang bertindak selaku pengarah MV berkenaan yang bercerita mengenai satu pasangan yang dibadai perasaan dingin. MV tersebut kini sudah ditonton lebih 100,000 tontonan kurang sebulan selepas dilancarkan.
Melihat perkembangan tersebut, Luqman menganggap ia sebagai sebuah perjalanan dan kesinambungan kepada album mini yang jangka akan dikeluarkan pada awal 2025 nanti.
“Mengikut perancangan, saya akan melancarkan album mini pada Januari tahun hadapan. Lebih banyak eksperimen bunyi dan muzik yang bakal dihasilkan dalam karya akan datang.
Single Tak Sedar Diri kini boleh dinikmati menerusi semua pelantar muzik digital. Sementara MV pula boleh ditonton melalui YouTube Black Cat Hat Records. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments