LAGU Diam yang menjadi runut bunyi utama (OST) bagi drama popular My Famous Ex-Boyfriend, menang anugerah Best Theme Song or Title Theme (Malaysia) di Asian Academy Creative Awards 2024.
Karya ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh itu telah menempatkan diri sebagai pemenang bagi mewakili Malaysia dalam kategori tersebut.
Asian Academy Creative Awards merupakan platform yang mengiktiraf karya kreatif terbaik dari seluruh Asia dalam pelbagai kategori, termasuk drama, filem, dokumentari, dan muzik tema.
Kemenangan itu bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, malah membuktikan kualiti tinggi hasil karya seni tempatan yang mampu bersaing di persada global.
Hael mengakui terkejut dengan kemenangan tersebut dalam acara anugerah di peringkat serantau.
“Saya benar-benar tidak menyangka lagu Diam akan terpilih dan memenangi anugerah ini. Saya sangat bersyukur hasil kerja keras saya bersama Iqie Hugh diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Kemenangan ini bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk seluruh pasukan yang terlibat dalam penghasilan lagu ini,” ujarnya.
Lagu Diam merupakan salah sebuah lagu yang terkandung dalam album sulung Hael Husaini berjudul Antonim Part I.
Sehingga kini jumlah tontonan muzik video lagu itu juga sudah melebih 2.1 juta tontonan di saluran YouTube Hael Husaini.
Usaha gigih
Dalam acara sama, seorang lagi artis naungan Rocketfuel Entertainment, Aiman Ameer, turut mencipta sejarah apabila memenangi anugerah dalam kategori Best Infotainment Programme di Asian Academy Creative Awards 2024.
Aiman meraih kemenangan ini melalui program popular Jejak Tular, di mana beliau bertindak sebagai pengacara bersama rakan selebriti, Haiqal.
Program tersebut yang mengupas isu-isu tular dalam masyarakat, telah berjaya menarik perhatian juri dengan pendekatan unik serta penyampaian yang dinamik dan segar.
Menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti usaha gigih yang dilakukan, Aiman meluahkan rasa syukur dan terujanya.
“Saya sangat gembira dan tidak menyangka rezeki berpihak kepada saya serta seluruh pasukan Jejak Tular. Kami bekerja keras untuk memberikan yang terbaik kepada penonton, dan kemenangan ini adalah bukti usaha gigih kami," katanya.
Program Jejak Tular, yang memfokuskan kepada isu-isu yang menjadi bualan di media sosial, telah berjaya mencipta pengaruh besar dalam kalangan penonton tempatan dan kini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pendekatan infotainment yang digunakan menjadikan program tersebut berinformasi dan menghiburkan, sekali gus mendapat tempat di hati penonton dari pelbagai lapisan masyarakat.
Kemenangan dua artis Rocketfuel Entertainment di Asian Academy Creative Awards 2024 ini mencerminkan kejayaan besar dalam melahirkan bakat-bakat berkualiti yang bukan sahaja berjaya di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- harumkan-nama-negara-siti-saleha-menang
- wanita-hebat-rita-rudaini-terima
- dominasi-taylor-swift-bawa-pulang-7
TONTON VIDEO PILIHAN
0 Comments