Jasbinder (dua dari kiri) berkongsi pengalaman ketika acara Lazada Seller Summit 2024 | FOTO: Lazada |
DI MANA ada usaha, di situ ada jalannya. Mungkin pepatah itu tepat untuk menggambarkan usaha dan kesungguhan seorang suri rumah, Jasbinder Kaur untuk mencipta kejayaan.
Walaupun menghadapi cabaran awal dengan penggunaan teknologi, dia kekal tabah dengan bimbingan dan sokongan anaknya.
Hari ini, Jasminder mengendalikan PK Grocery yang menawarkan keperluan isi rumah yang berpatutan. Dengan visi membuka kedai fizikal di Petaling Jaya, perjalanan Jasbinder mencerminkan kecekalan, sokongan keluarga, dan semangat untuk kejayaan.
Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, Jasbinder, tidak pernah terfikir untuk memulakan sesebuah perniagaan sehinggalah dunia dilanda pandemik Covid-19 pada 2020.
Apabila rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai menghadapi kesukaran mendapatkan barangan keperluan harian.
Pada ketika itu, Jasbinder melihat peluang untuk memenuhi keperluan komuniti sekeliling. Diinspirasi daripada kejayaan anaknya, Mandip, dia nekad untuk memulakan perniagaan sendiri.
Dengan kesungguhan dan kecekalan diri, Jasbinder yang juga merupakan ibu kepada empat orang anak itu memulakan PK Grocery, yang kini berkembang menjadi perniagaan atas talian yang berjaya di Lazada.
Satu pencapaian mengagumkan yang mencerminkan perjalanan dirinya yang penuh inspirasi, daripada seorang suri rumah kepada usahawan.
Kini pada usia 60-an, Jasbinder tidak pernah menyangka dirinya akan menjadi seorang usahawan.
“Saya berusia 58 tahun ketika itu dan tidak pernah terfikir untuk memulakan perniagaan sendiri. Namun, apabila saya telah membuka langkah, saya sedar betapa memuaskan pengalaman ini.
“Melihat para pelanggan kami menikmati kemudahan yang kami sediakan, dan mengetahui bahawa kami dapat membantu komuniti sekeliling membuatkan pengalaman ini lebih bermakna,” ujarnya.
PK Grocery bermula sebagai sebuah perniagaan kecil dari rumah, dengan menawarkan barangan keperluan harian kepada sahabat terdekat dan jiran tetangga sahaja.
Fokus mereka kepada barangan keperluan asas seperti barang runcit, produk pembersih rumah, dan lain-lain telah membantu mengekalkan pendapatan yang stabil.
Ia juga membina reputasi mereka sebagai penyedia produk berkualiti dengan harga yang berpatutan. Apabila berita mengenai PK Grocery tersebar, permintaan pelanggan turut meningkat.
Langkah strategik ke arah e-Dagang
Melihat perniagaannya berkembang dalam tempoh setahun, Jasbinder dan Mandip menyedari potensi untuk memperluaskan lagi perniagaan mereka dengan menjual atas talian melalui Lazada.
“Membawa perniagaan ke atas talian merupakan satu langkah yang besar kepada saya, terutamanya kerana saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dengan teknologi.
"Setiap hari merupakan satu pengalaman baharu yang memberikan saya keyakinan untuk terus maju sebagai penjual runcit atas talian,” katanya.
Jasbinder sentiasa mahu belajar dan mencuba sesuatu yang baharu | FOTO: Lazada |
Menurutnya lagi, mempelajari cara menggunakan komputer riba dan telefon pintar merupakan cabaran pada awalnya, tetapi dengan sokongan daripada anaknya, Jasbinder akhirnya menguasai kemahiran yang diperlukan untuk menerajui dunia e-Dagang.
Walaupun penjualan menurun pada awalnya selepas PKP, mereka kekal tabah dan komited untuk mengembangkan PK Grocery.
Mengadaptasi kepada perubahan pasaran, mereka memanfaatkan inisiatif utama Lazada seperti kempen-kempen penjualan dua-digit bulanan yang meningkatkan pendedahan kedai dan menarik pelanggan baharu.
Sistem yang diintegrasikan ke dalam platform Lazada untuk pengendalian pesanan, pembayaran, dan penghantaran juga menjadikan peralihan ke e-Dagang lebih mudah daripada jangkaan mereka.
“Sama ada kempen jualan besar atau kecil, kami sentiasa melihat perkembangan dalam perniagaan kami. Antaranya adalah Jualan Tahunan Terbesar 11.11 Lazada yang merupakan salah satu jualan tahunan yang penting bagi PK Grocery untuk berkembang di Lazada,” jelas Jasbinder.
Kejayaan PK Grocery juga disumbangkan oleh usaha kecil yang diamalkan oleh Jasbinder dalam menjalankan perniagaannya.
Sebagai seorang usahawan yang bijak, dia turut menemui cara untuk mengurangkan kos dan beroperasi secara mampan dengan menggunakan kotak kitar semula untuk pembungkusan.
Tidak hanya itu, usahawan itu juga sentiasa berusaha untuk menunjukkan penghargaan kepada pelanggan dengan menyertakan nota-nota kecil ucapan terima kasih bersama setiap pesanan, satu sentuhan peribadi yang telah mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.
“Kami ingin menawarkan nilai terbaik kepada pelanggan kami, tanpa menjejaskan kualiti. Saya percaya dengan menunjukkan rasa berterima kasih kepada pelanggan, kami dapat santuni pelanggan secara lebih peribadi,” katanya.
Usaha-usaha Jasbinder membuahkan hasil apabila pada Julai 2024, dia dijemput untuk berucap di Lazada Seller Summit 2024 yang menjadi sebuah pengalaman yang amat berharga buat dirinya.
“Menerima jemputan untuk berucap di Lazada Seller Summit merupakan satu pengalaman yang tidak mudah dilupakan.
"Saya tidak pernah menyangka yang saya akan pada suatu hari berdiri di atas pentas untuk berkongsi perjalanan e-Dagang saya bersama peniaga-peniaga lain dari seluruh negara,” katanya.
Inspirasi Membuka Langkah
Kini dengan impian lebih besar untuk PK Grocery, Jasbinder merancang untuk membuka sebuah kedai fizikal di Petaling Jaya, Selangor.
Mengenangkan perjalanannya sehingga kini, dia bersyukur atas peluang untuk berdikari dan berasa bangga kerana menjalankan perniagaan sendiri.
“Mempunyai kemampuan untuk menjana pendapatan sendiri memberikan saya kebanggaan yang besar. Lebih lagi, ia merupakan ganjaran terbesar bagi saya,” ungkapnya lagi.
Jasbinder percaya bahawa apabila seseorang menghadapi cabaran, kunci kejayaan adalah untuk terus maju ke hadapan.
“Dalam kehidupan ini, kita harus sentiasa belajar dan mencuba sesuatu yang baharu.
"Jangan takut untuk mengambil langkah pertama. Dengan masa, kesabaran, dan keazaman, kejayaan pasti akan tiba.
"Saya menonton drama televisyen untuk membantu saya relaks dan bertenang,” katanya.
Bagi mereka yang masih teragak-agak untuk menceburi perniagaan e-Dagang, perjalanan Jasbinder menjadi contoh yang baik.
Setia daripada kita tidak pernah terlambat untuk belajar sesuatu yang baharu, menyahut cabaran, dan mencapai kejayaan.
Dengan kecekalan, pembelajaran berterusan, dan sokongan keluarga, Jasbinder dan anaknya telah membina bukan sahaja sebuah perniagaan yang berkembang maju tetapi juga menubuhkan legasi yang akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments