SETIAP kali musim bunga, pantai berlatarkan rona keemasan Riviera Turki yang serba indah mengalu-alukan kehadiran caretta caretta (sejenis penyu spesies loggerhead atau penyu tempayan).
Pantai Mediterranean Türkiye mengetengahkan habitat sarang pantai yang paling prolifik di rantau itu dengan ratusan penyu tempayan berkunjung kembali ke 22 pantainya.
Ikuti perjalanan caretta caretta ini dengan lebih dekat tatkala ia kembali ke pantai dan langkah perlindungan ketat yang dilaksanakan oleh Türkiye bagi melindungi anak-anak makhkluk lautan yang hebat itu.
Kunjungi pantai
Caretta caretta mempunyai 22 habitat bersarang di pantai selatan Türkiye di wilayah Muğla, Antalya, Mersin, Adana dan Hatay.
Pantai itu termasuklah Dalyan, Ekincik, Sarıgerme dan Fethiye di Muğla; Patara, Demre, Kumluca, Çıralı, Tekirova, Belek, Kızılot, Demirtaş dan Gazipaşa di Antalya; Anamur, Göksu Delta, Davultepe, Alata dan Kazanlı di Mersin; Akyatan, Sugözü dan Yumurtalık di Adana; serta pantai Samandağ di Hatay. Namun begitu, penyu tempayan memilih untuk bersarang di sekitar pantai Antalya dan Muğla.
Mulai penghujung April, caretta caretta meredah lautan sekitar Pantai İztuzu yang terkenal di dunia terletak di daerah Ortaca di Muğla dan sekitar Pantai Patara di Antalya.
Kedua-dua pantai itu menyediakan habitat bersarang buat makhluk laut yang pemalu ini antara bulan Mei hingga Ogos, manakala peminat alam semula jadi pula berduyun-duyun ke kawasan berkenaan untuk melihat penyu tempayan.
Harus diingatkan bahawa caretta caretta berada di bawah langkah perlindungan, dan sepanjang musim bertelur dan penetasan, sukarelawan melakukan rondaan di pantai bagi memastikan keselamatan sarang penyu tersebut.
Disenaraikan sebagai spesies terancam kritikal oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Sedunia (IUCN), jangka hayat penyu tempayan boleh mencecah sehingga 70 tahun atau lebih, dengan mencapai kematangan seksual apabila cengkerang penyu dewasa lebih panjang daripada 90 sentimeter, lazimnya apabila ia berusia antara 12 hingga 30 tahun.
Penyu tempayan memulakan musim bersarangnya di rantau Mediterranean pada bulan April dan Mei. Kebiasaannya mereka hadir di kawasan pantai bertemankan sinaran cahaya bulan di mana caretta caretta menggali lubang, bertelur di dalamnya dan kemudian menuju semula ke arah lautan.
Meskipun penyu betina boleh menghasilkan purata 100 telur untuk setiap sarang, secara amnya hanya kira-kira 50 peratus daripada telur itu akan menetas.
Anak-anak penyu yang selesai tempoh pengeraman kemudiannya harus kembali ke perairan sejuk Laut Mediterranean. Namun, hanya dua daripada daripada setiap ribu anak caretta caretta yang sampai ke laut bakal bertahan sehingga dewasa.
Pantai Antalya jadi tumpuan
Pantai Antalya menempatkan sembilan daripada 22 pantai yang dijadikan sarang di Türkiye, seperti yang disahkan oleh Direktorat Am Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Taman Negara (DKMP).
Pantai Patara yang terbentang sepanjang 18 kilometer, iaitu salah satu daripada pantai terpanjang di Türkiye dan di dunia, ialah antara pantai caretta caretta membuat sarangnya.
Justeru, Kementerian Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim menetapkan Patara sebagai Zon Perlindungan Alam Sekitar Khas, dan orang ramai tidak boleh mengunjungi pantai berkenaan dari jam 8 malam hingga 8 pagi untuk melindungi ekosistem yang unik ini dan habitat penyu.
Di siang hari, sarang tersebut diletakkan sangkar dan penanda. Pengunjung boleh menikmati pantai Patara yang panjang ini pada waktu siang, dan di waktu malam, penyu berkenaan boleh dilihat di sepanjang pantai.
Dalam tempoh larangan itu, penggunaan kerusi berjemur, payung dan lampu tiruan juga tidak dibenarkan selain tidak boleh membuat bising, memasang khemah dan berenang di pantai.
Khazanah ekologi
Pantai İztuzu berpasir di Köyceğiz, sebuah bandar Cittaslow di Muğla, merupakan habitat bersarang penyu yang terkenal.
Pantai berkenaan yang terbentuk pada pertemuan Sungai Dalyan dan Laut Mediterranean adalah khazanah ekologi buat caretta caretta, dengan pasir serba keemasan dikelilingi cerun yang dilitupi pohon pain.
Pantai İztuzu menerima tahap perlindungan yang serupa dengan Pantai Patara, dan selain itu, institut perlindungan dan pemulihan yang berhampiran menyediakan perkhidmatan untuk penyu yang cedera di kawasan pantai Türkiye yang lain.
Di Türkiye, tapak warisan budaya diberi perlindungan yang ketat, dan beberapa projek lestari sedang dilaksanakan bagi memastikan kemandirian hidupan semula jadi.
Bandar Purba Patara, ibu kota Kesatuan Lycian dahulu kala, terletak di pinggir pantai Patara dan menempatkan monumen seperti Bangunan Perhimpunan sebagai lokasi berlangsungnya majlis demokrasi pertama di dunia dan teater purba. Ini juga merupakan tempat kelahiran Saint Nicholas yang dikenali ramai sebagai ‘Santa Claus’.
Sambil mengunjungi Köyceğiz, Muğla, anda juga boleh melawat Dalyan dan meneroka Kota Purba Kaunos yang menakjubkan, terkenal khususnya dengan makam batu berukir sejak abad keempat Sebelum Masihi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments