BEREGU lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei sekali lagi memaparkan aksi cemerlang dengan menundukkan gandingan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Finland pada Ahad.
Dalam perlawanan sengit yang berlangsung di Vantaan Energia Areena itu, pasangan negara yang tewas pada set pertama dengan 15-21, kembali bangkit dan berjaya memberikan tentangan pada set kedua dengan kemenangan 21-15, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Kedua-dua gandingan tampil dengan aksi mendebarkan dengan saling berbalas kutipan mata sebelum Izzudin-Sze Fei memuktamadkan kemenangan dengan 21-19.
Kali terakhir bertemu, pasangan negara tewas kepada Astrup-Rasmussen dalam aksi suku akhir Malaysia Master pada Mei lalu.
Selaku juara Terbuka Arctic yang juga merupakan kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu, Izzudin-Sze Fei membawa pulang hadiah wang tunai RM142,282.
Pasangan ini melengkapkan kejuaraan hatrik di mana mereka sebelum ini menjuarai Terbuka Jepun pada Ogos, dan Terbuka China pada September lalu.
Pearly-Thinaah tewas kepada pasangan China
Sementara itu, hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk merangkul kejuaraan di kejohanan sama tidak kesampaian apabila tunduk kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Pearly-Thinaah berdepan perlawanan sengit menentang pasangan beregu wanita nombor dua dunia dalam pertarungan dua set, 12-21 dan 21-17 dalam tempoh 58 minit, sebelum bergelar naib juara kejohanan.
Pada September lalu, gandingan negara itu turut tewas pada lawan sama yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments