Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Hasil bedah siasat dapati Liam Payne ambil pelbagai jenis dadah sebelum maut


HASIL bedah siasat ke atas mayat mendiang Liam Payne, mendapati terdapat pelbagai jenis bahan terlarang telah diambil oleh bekas anggota kumpulan One Direction itu sebelum maut pada minggu lalu.

Menurut laporan toksikologi yang dijalankan, antara bahan terlarang itu termasuk 'pink cocaine' yang merupakan dadah campuran methamphetamine, ketamin dan lain-lain.

Payne dipercayai mengambil bahan terlarang tersebut di dalam bilik hotel selepas penemuan beberapa peralatan seperti paip aluminium buatan sendiri untuk tujuan itu.

Pihak berkuasa tempatan turut menemui ubat jenis clonazepam yang digunakan untuk mengawal epilepsi serta serangan panik di lokasi sama.

Sebelum ini, keputusan awal bedah siasat yang dijalankan Pusat Perubatan Forensik di Rumah Mayat Kehakiman, Viamonte Street mendedahkan Payne meninggal dunia akibat pelbagai trauma yang mengakibatkan pendarahan otak, tengkorak, hati dan dada serta kecederaan luaran.

Difahamkan mayat bintang 31 tahun itu masih berada di Argentina sehingga segala prosedur selesai dilakukan sebelum dibawa pulang ke England untuk disemadikan.

Agensi berita antarabangsa melaporkan bapa mendiang, Geoff Payne kini sudah berada di Buenos Aires bagi mengatur proses penghantaran mayat ke West Midlands. Pengebumian Payne dijangka akan berlangsung pada awal November ini.

Pada 16 Oktober lalu, dunia dikejutkan dengan berita kematian Payne yang maut selepas terjatuh dari balkoni di tingkat tiga sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina.

Mendiang meninggalkan seorang anak lelaki, Bear Grey, 7, hasil hubungan bersama bekas kekasihnya, Cheryl Cole yang juga anggota Girls Aloud.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments