Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Filem Abang Adik, wakil Malaysia ke Oscar


FILEM Abang Adik arahan Jin Ong rasmi dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa pada Anugerah Akademi ke-97 atau Oscar yang akan berlangsung pada Mac 2025.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan pada Khamis, menjelaskan pemilihan naskhah terbitan More Entertainments adalah hasil beberapa siri penilaian Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Finas yang terdiri daripada barisan profesional dalam bidang perfileman dan pematuhan syarat penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

"Abang Adik telah merangkul 19 anugerah antarabangsa di mana ia merupakan satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.

“Naskhah ini turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 September 2024, selepas mula ditayangkan bermula 21 September 2024.

"Terdahulu ia juga mencipta fenomena pada 2023 dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, sekali gus menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi," ujar kenyataan tersebut.

Antara pencapaian tertinggi filem yang dibintangi Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu (Taiwan) sebagai teraju Utama itu ialah Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22), Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25, Udine, Itali.

Tidak ketinggalan, pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.

Sementara di peringkat tempatan pula menyaksikan filem ini mencatat kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Tidak hanya itu, tayangan filem Abang Adik di Malaysia pada Disember 2023 turut mencatatkan kutipan sebanyak RM5.7 juta, membuktikan sambutan yang memberangsangkan daripada penonton tempatan.

Finas berharap perkembangan positif dalam penghasilan filem tempatan bernilai tinggi dapat diteruskan bagi memperkukuh industri perfileman negara di arena antarabangsa. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments